USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA SELURUH WARGA USM JAYAKAN PROGRAM ANTARABANGSA MALAYSIA-TÜRKİYE

 

USM PULAU PINANG, 23 Jun 2026 – Semangat kerjasama dan komitmen seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pemangkin kejayaan penganjuran ‘The Second Joint Committee Meeting between Malaysia and the Republic of Türkiye on Higher Education’ yang berlangsung baru-baru ini, sekali gus mengangkat nama universiti di persada antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kejayaan penganjuran program bertaraf antarabangsa itu bukanlah hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen dan kerjasama erat seluruh warga universiti.

Beliau berkata, setiap pihak yang terlibat telah memainkan peranan masing-masing dengan penuh dedikasi sehingga membolehkan program tersebut dilaksanakan dengan jayanya, termasuk menerima kehadiran tokoh bola sepak antarabangsa, Mesut Özil, yang menjadi antara tarikan utama sepanjang berlangsungnya program berkenaan.

“Program ini berjaya dilaksanakan kerana semua pihak berganding bahu menjayakannya. Kita menjadi hos kepada delegasi antarabangsa dan membuktikan bahawa USM mempunyai keupayaan untuk menganjurkan program bertaraf dunia dengan cemerlang,” katanya ketika menghadiri Majlis Apresiasi Sekretariat yang diadakan di Dewan Utama Desasiswa (DUD), USM petang ini.

Majlis tersebut telah dapat menghimpunkan ahli-ahli jawatankuasa sekretariat serta wakil pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) yang memainkan peranan penting sepanjang penganjuran program tersebut.

Pada masa yang sama, beliau turut memohon kemaafan sekiranya terdapat beberapa perubahan yang perlu dilakukan pada saat akhir, sambil menjelaskan bahawa langkah tersebut dibuat demi memastikan penyelarasan yang lebih baik dan kelancaran program.

“Kadang kala terdapat perkara yang terpaksa diubah pada saat akhir bagi tujuan penyelarasan yang lebih baik daripada perancangan asal. Saya amat menghargai kesediaan semua pihak untuk menyesuaikan diri dengan perubahan penyelarasan majlis tersebut, demi kejayaan bersama,” tambah beliau.

Menurut Abdul Rahman lagi, kekuatan sebenar USM terletak pada warga universiti yang sentiasa meletakkan kepentingan mahasiswa dan staf sebagai keutamaan.

“Sumber kekuatan USM adalah berkenaan pelajar dan kakitangannya. Fokus kita adalah untuk memastikan kualiti dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik, terutamanya dalam pengendalian program-program peringkat antarabangsa,” kata beliau lagi.

Majlis apresiasi tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan seluruh sekretariat yang telah bersama-sama memastikan kelancaran penganjuran ‘The Second Joint Committee Meeting between Malaysia and the Republic of Türkiye on Higher Education,’ sekali gus memperkukuh reputasi USM sebagai sebuah universiti yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan dan pengantarabangsaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; Pengerusi Majlis Penggawa USM,  Dr. Abdul Rais Abdul Latiff; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; Pengarah Jabatan Keselamatan USM, Prabu Mogan; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Azfar Al-Hafiz Azman serta barisan Pegawai-pegawai Utama Universiti dan kepimpinan pelajar.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 171

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025