KUSISDARI USM RENTAS NEGARA CARI PENGALAMAN
PULAU PINANG, 26 Jun 2015 – Kumpulan Siswa-siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI), Universiti Sains Malaysia (USM) merentasi sempadan negara ke bumi kangaroo, Australia bagi mencari pengalaman berharga dan membina jaringan di peringkat global.
Dengan bertemakan Exchange Knowledge Beyond Boundaries, 15 ahli kumpulan terdiri daripada kepimpinan KUSISDARI memperoleh pelbagai pengalaman apabila menjalankan pelbagai aktiviti bersempena lawatan ilmiah ke Murdoch University, Perth, Australia, baru-baru ini.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah perkongsian idea dan amalan terbaik dalam praktis pendidikan, kepimpinan, pergerakan persatuan pelajar dan budaya antara kedua-dua buah negara.
Delegasi KUSISDARI turut memperagakan pakaian tradisional Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, Tarian Darbus (tarian yang berasal dari negeri Perak), Tarian Joget dan persembahan silat cekak, antara keistimewaan negara yang berjaya menarik minat rakan-rakan di Perth.
Penasihat KUSISDARI, Prof. Madya Wan Ahmad Jaafar bin Wan Yahaya berkata, program yang juga dikenali sebagai Global Outreached Programme ini merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh KUSISDARI bagi meraikan perkongsian pengetahuan dan budaya antara negara.
Beliau yang juga ketua delegasi berkata, program itu merupakan wadah yang baik untuk mahasiswa memperoleh ilmu, belajar dan memahami budaya masyarakat luar, selain mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah universiti.
“Ia bukan hanya sekadar lawatan melihat tempat orang sebaliknya diisi dengan pelbagai program khas bagi membina jaringan kerjasama jangka panjang dalam kalangan siswa-siswi kedua-dua universiti.
“Banyak manfaat diperoleh dari program seumpama ini termasuk dalam mengukuhkan penguasaan pelajar berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajar antarabangsa, meningkatkan kemahiran kendiri dan mendidik mereka untuk melihat dan mengambil manfaat dari perkara-perkara baik yang diamalkan,’’ katanya.
Menurut Yang Dipertua KUSISDARI pula, Akmal Ariffin, aktiviti yang dijalankan itu sangat bermanfaat dalam melahirkan mahasiswa berfikiran global dan aktif dalam pelbagai bidang.
Katanya, program yang menjadi kesinambungan bagi tahun-tahun terdahulu yang diadakan di Osaka, Seoul, Chengdu, Hong Kong, dan Indonesia tersebut menjadi platform yang baik untuk mahasiswa USM merasa sendiri suasana pembelajaran di luar negara.
“Ia adalah satu ruang pembelajaran yang baik untuk para pelajar berinteraksi dalam suasana global. Ia bukan sekadar membantu menambahkan keyakinan diri, malah turut memberi peluang untuk membina jaringan ilmiah dengan rakan global,’’ ujar beliau.
Dalam pada itu, delegasi KUSISDARI dibawa menyaksikan keindahan bumi Perth yang terkenal sebagai bandar hijau terbaik di dunia dan berkongsi pengalaman masyarakat di negara tersebut menyemai budaya kebersihan dalam kalangan komunti mereka.
Para peserta turut berkesempatan ke Kings Park, Cottesloe Beach, Fremantle Market, Caversham Wildlife Park dan Perth City, yang disifatkan sebagai satu pengalaman cukup berharga, di samping membawa budaya Malaysia ke pentas antarabangsa.
Delegasi KUSISDARI telah disambut oleh Pegawai Pertukaran Pelajar, Nicolas Castagnette, dalam sebuah majlis yang turut disertai dengan para pelajar dari Persatuan Pelajar Malaysia di Murdoch University.
- Created on .
- Hits: 1164