USM NEWS PORTAL 

94 WARGA PPIP RAIH PENSIJILAN GEMINI CERTIFIED EDUCATOR, HASILKAN 18 INOVASI AI PENDIDIKAN

USM PULAU PINANG, 18 Jun 2026 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) melakar pencapaian membanggakan apabila seramai 94 warga pusat pengajian itu berjaya memperoleh pensijilan profesional ‘Gemini Certified Educator’ daripada Google for Education.

Pensijilan bertaraf global itu melibatkan 87 pelajar prasiswazah kursus PGT436E Teknologi Komunikasi Maklumat dalam Pendidikan di bawah bimbingan Dr. Nurul Ashikin Izhar dan Ts. Dr. Rozniza Zaharudin, selain lima pelajar pascasiswazah peringkat Sarjana dalam bidang Teknologi Pendidikan. Kejayaan itu turut merangkumi pensyarah penyelaras program berkenaan.

Dr Nurul Ashikin Izhar berkata, pencapaian tersebut merupakan langkah strategik dalam memperkasakan agenda pendigitalan pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain melengkapkan bakal pendidik dengan kemahiran digital semasa, khususnya dalam aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan.

Katanya, sepanjang lima minggu mengikuti program interaktif itu, para peserta didedahkan secara intensif kepada pelbagai produk dan fungsi aplikasi Google seperti Gemini dan NotebookLM, selain menjalani latihan praktikal bagi memanfaatkan teknologi berkenaan untuk menghasilkan inovasi dalam ekosistem pendidikan.

“Hasilnya, para pelajar berjaya membangunkan 18 produk inovasi pendidikan berasaskan AI menggunakan Gemini dan NotebookLM yang memfokuskan penyelesaian isu serta peningkatan kualiti pengajaran dalam bidang Pendidikan Khas serta Pendidikan Sains dan Matematik,” kata Ts. Dr Rozniza Zaharudin

Kesemua produk itu dipamerkan di perkarangan PPIP dan berjaya menarik perhatian pensyarah PPIP, pensyarah jemputan, calon pelajar yang menghadiri sesi temu duga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) serta ibu bapa.

Professor Madya Dr Rahimi Che Aman, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan berkata, pihak pengurusan pusat pengajian menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar dan pensyarah yang terlibat atas komitmen yang ditunjukkan serta menyifatkan kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama PPIP, malah membuktikan tahap literasi AI yang tinggi dalam kalangan pelajar.

“Penguasaan literasi AI yang diperoleh melalui pensijilan tersebut merupakan kemahiran kritikal yang mampu membezakan mereka sebagai pendidik masa hadapan yang dinamik, inovatif dan bersedia mendepani cabaran pendidikan global,” katanya.

Teks: Dr Nurul Ashikin Izhar/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025