KERJASAMA USM-SETIA SPICE-AL-ANSAR MANTAPKAN TEKNOLOGI BSFL UNTUK PENGURUSAN SISA MAKANAN SECARA LESTARI
PULAU PINANG, 13 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM), Setia SPICE Convention Centre dan Al-Ansar Integrated Sdn. Bhd. telah menjalin kerjasama kelestarian tiga pihak bagi memperkukuh pengurusan sisa makanan dalam industri acara di Malaysia.
Majlis pelancaran kerjasama kelestarian tersebut telah diadakan di Setia SPICE Convention Centre pagi ini antara ketiga-tiga pihak terbabit.
Kerjasama tersebut melibatkan pembangunan satu sistem menyeluruh yang merangkumi pengasingan sisa, pemprosesan biologi, dan penyelidikan terapan, dengan menjadikan kelestarian sebagai sebahagian daripada operasi utama.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya yang hadir mewakili Naib Canselor USM, menekankan bahawa kerjasama tersebut berada pada landasan yang betul kerana menghasilkan impak yang boleh diukur.
“Dengan kepakaran penyelidikan yang sedia ada, universiti berupaya menghasilkan teknologi praktikal, menyediakan tenaga kerja mahir, serta menjadi jambatan antara industri dan komuniti,” kata beliau.
Katanya lagi, “Ia turut mencerminkan komitmen berterusan semua pihak terlibat dalam memperkukuh hubungan antara universiti, industri, dan komuniti demi menangani isu semasa secara bersepadu.”
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian SP Setia Berhad, Chan Ching Hiong, pula menjelaskan bahawa inisiatif ini selari dengan agenda kelestarian syarikat dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau menyatakan bahawa Setia SPICE menghasilkan lebih 8.4 tan metrik sisa makanan daripada 57 acara jamuan pada tahun kewangan 2025, justeru usaha ini amat mendesak.
“Walaupun jumlah kami kecil, kami tetap sebahagian daripada masalah. Sisa makanan menyumbang besar kepada pelepasan gas rumah hijau dan pencemaran alam sekitar,” katanya.
Teknologi utama yang digunakan ialah BSFL (Black Soldier Fly Larvae), iaitu larva Hermetia illucens yang berfungsi menukar sisa makanan kepada sumber berguna.
Sisa makanan dari acara Setia SPICE diproses di fasiliti Tasek Gelugor dalam tempoh 10–14 hari, menghasilkan larva kaya protein untuk makanan haiwan serta baja organik daripada hasil sampingan.
Pelaksanaan awal telah menunjukkan kesan positif, dengan dua kutipan perintis berjaya mengalihkan 319.5 kilogram sisa makanan daripada tapak pelupusan.
USM melalui penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat akan menilai faktor seperti komposisi sisa, keberkesanan penukaran, dan impak alam sekitar. Inisiatif ini berfungsi sebagai 'makmal hidup' untuk penambahbaikan berterusan.
Selain manfaat alam sekitar, projek ini juga memberi nilai ekonomi melalui pengurangan kos pelupusan, potensi hasil daripada produk berasaskan larva, serta peluang pekerjaan hijau dalam logistik dan penternakan serangga.
Peranan setiap pihak jelas: Setia SPICE sebagai penyelaras operasi dan penghasil sisa, USM sebagai penyelidik dan pengesah saintifik, manakala Al-Ansar Integrated sebagai rakan pemprosesan dan pengembangan.
Setia SPICE turut menyasarkan sifar sisa makanan ke tapak pelupusan menjelang 2030, manakala Al-Ansar memberi fokus kepada pengeluaran berskala dan pengkomersialan produk. USM pula mendapat peluang penyelidikan jangka panjang yang berasaskan dunia sebenar.
Secara keseluruhan, kerjasama ini membuktikan bahawa sisa makanan boleh dijadikan sumber bernilai, bukan sekadar bahan buangan, dan menjadi contoh model ekonomi kitaran yang boleh direplikasi oleh institusi lain.
Teks Asal: PrivinKumar Jayavanan, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: Afimie Baharit, Intern@ MPRC
- Created on .
- Hits: 39