USM PERKASA KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN AKADEMIK MELALUI LAWATAN KE HARBIN INSTITUTE OF TECHNOLOGY
USM PULAU PINANG, 21 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah sekali lagi mengorak langkah penting dalam memajukan agenda pengantarabangsaannya menerusi lawatan strategik ke Harbin Institute of Technology (HIT), salah sebuah universiti penyelidikan paling berprestij di China.
Delegasi yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab itu turut disertai oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar, serta staf akademik dari kedua-dua pusat pengajian tersebut.
Sepanjang lawatan pada 10–11 April 2026, pasukan USM telah mengadakan perbincangan peringkat tinggi bersama kepimpinan dan fakulti HIT, termasuk Profesor Liu Ting (Naib Presiden); Profesor Wu Jian (Timbalan Pengarah Eksekutif, Bahagian Kerjasama Antarabangsa dan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Global); Profesor Qi Jiaran (Penolong Dekan, School of Electronics and Information Engineering); Profesor Zhi Xiyang (Timbalan Dekan, School of Astronautics); serta empat lagi dekan daripada pelbagai pusat pengajian akademik.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti peluang kerjasama berimpak tinggi dalam penyelidikan dan program akademik.
Kedua-dua institusi bersetuju untuk melaksanakan sekurang-kurangnya dua inisiatif bersama pada tahun 2026, di samping meletakkan asas bagi kerjasama program akademik pada tahun 2027.
Antara bidang utama kerjasama yang dikenal pasti adalah:
· Latihan industri pelajar bersama rakan industri di Malaysia dan China;
· Projek penyelidikan bersama dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Kejuruteraan Aeroangkasa;
· Penerokaan program akademik 2+2 bagi meningkatkan mobiliti pelajar;
· Pembangunan program Sarjana Sains (MSc) secara Mod Campuran (Mixed-Mode) yang diterajui oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, dengan potensi kerjasama bersama HIT.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen USM dalam membina jaringan akademik global serta menghasilkan impak yang bermakna kepada pelajar, penyelidik, dan rakan industri.
Perbincangan susulan yang berstruktur serta perancangan pelaksanaan akan memastikan inisiatif yang dipersetujui bersama diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada kedua-dua institusi.
Teks: Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 41