USM BAWA KESEDARAN EKONOMI BIRU MAMPAN KE SEKOLAH-SEKOLAH DI PULAU PINANG
USM PULAU PINANG, 21 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui inisiatif ‘SustainaBlue’ telah menganjurkan program “SustainaBlue – Roadshow for Local Schools” yang berjaya menarik penyertaan seramai 268 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 daripada sekolah-sekolah menengah di sekitar Pulau Pinang.
Program pemindahan ilmu yang interaktif ini memberi tumpuan kepada aspek kesihatan lautan serta pemahaman tentang ekonomi biru mampan, sekali gus menyemai kesedaran awal dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan menjaga kelestarian sumber maritim untuk masa depan.
Program separuh hari yang berlangsung pada 14 April di Dewan Utama Peperiksaan B, USM itu menghimpunkan pelajar dan guru dari sekolah-sekolah di seluruh Pulau Pinang, serentak mengukuhkan peranan USM sebagai institusi peneraju dalam penyebaran ilmu sains marin dan advokasi kelestarian.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada projek SustainaBlue yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah (ERASMUS-EDU-2023-CBHE), yang bertujuan meningkatkan kerelevanan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong ekonomi biru dan peralihan hijau.
Program dimulakan dengan sesi pembukaan, diikuti ucapan alu-aluan oleh Profesor Kehormat di Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM dan Ketua Penyelidik ‘SustainaBlue,’ Dato’ Dr. Amirul Al-Ashraf.
Sesi tersebut diteruskan dengan pengenalan kepada Ekonomi Biru Mampan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) USM, Profesor Madya Dr. Sazlina Md Salleh.
Dianjurkan sebagai platform pembelajaran interaktif, program jelajah tersebut menggabungkan ceramah, tayangan video, dan aktiviti berkumpulan bagi melibatkan pelajar dalam topik-topik utama termasuk ekosistem marin, kesihatan lautan, pengurusan sumber, dan kerjaya baharu dalam ekonomi biru.
Para peserta telah digalakkan untuk terlibat secara aktif melalui perbincangan dan tugasan kolaboratif yang dapat memupuk pemikiran kritis serta meningkatkan kesedaran terhadap cabaran kelestarian.
Inisiatif berkenaan secara langsung memudahkan pemindahan ilmu kepada komuniti setempat, khususnya golongan muda.
Ia juga menyokong pembangunan bakat bagi sektor ekonomi biru Malaysia dengan memperkenalkan laluan kerjaya berasaskan sains kepada pelajar di peringkat awal.
Beberapa sekolah termasuk SMK Bayan Lepas, SMK Raja Tun Uda, SMK Teluk Bahang, SMJK Sacred Heart, SMK Seri Balik Pulau, dan SMK Batu Maung telah menyertai program tersebut dengan diiringi oleh 18 orang guru.
Penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelajar sekolah terhadap bidang kelestarian dan sains marin.
Para pelajar turut didedahkan kepada aplikasi sebenar sains marin, termasuk pemuliharaan terumbu karang, teknologi pemantauan ekosistem, dan impak perubahan iklim.
Topik-topik tersebut disampaikan dengan cara yang mudah dan jelas supaya pelajar sekolah menengah rendah dapat memahaminya dengan baik.
Dari sudut strategik, program jelajah tersebut mengukuhkan kedudukan USM khususnya melalui Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), sebagai hab penyelidikan marin dan pesisir pantai, di samping memenuhi hasil yang disasarkan di bawah projek ‘SustainaBlue’.
Lebih penting lagi, ia berfungsi sebagai inisiatif berpandangan jauh untuk memupuk kesedaran, menyemarakkan minat terhadap STEM serta mempersiapkan generasi masa hadapan untuk menyumbang kepada pengurusan sumber marin yang mampan.
Program tersebut menzahirkan komitmen USM dalam merapatkan jurang antara kepakaran akademik dan penglibatan komuniti, sekali gus memastikan pendidikan kelestarian sampai ke peringkat akar umbi dan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.
Teks Asal: Profesor Madya Dr. Mahadi Mohammad, Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Jawatankuasa Inisiatif ‘SustainaBlue’
- Created on .
- Hits: 53