USM NEWS PORTAL 

USM NAIK KE KEDUDUKAN 128 DUNIA DALAM QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2027

WhatsApp Image 2026 06 17 at 12.17.37

USM PULAU PINANG, 18 Jun 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya di persada global apabila meningkat enam kedudukan ke tangga ke-128 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027. Pencapaian ini turut meletakkan USM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia serta mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.

Bagi edisi QS WUR 2027, sebanyak 8,808 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia telah dinilai, meningkat daripada 8,467 institusi pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, hanya 1,504 institusi berjaya disenaraikan dalam ranking global.
 
Prestasi yang semakin meningkat ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluas impak penyelidikan, memacu pengantarabangsaan strategik serta memperkasa agenda kelestarian universiti.
 
Antara pencapaian paling menonjol USM ialah indikator Pelajar Antarabangsa, apabila universiti berada pada kedudukan ke-61 dunia. USM turut mencatat kedudukan ke-100 dunia bagi indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (International Research Network, IRN), sekali gus muncul sebagai universiti terbaik di Malaysia bagi indikator tersebut.
Daripada sembilan indikator QS yang dinilai, USM mencatat peningkatan bagi lima indikator utama:
• Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (IRN)
• Kelestarian (Sustainability)
• Nisbah Fakulti-Pelajar (Faculty-Student Ratio)
• Sitasi per Fakulti (Citations per Faculty)
• Fakulti Antarabangsa (International Faculty)
 
USM juga terus memperkukuh pengaruh penyelidikannya di peringkat antarabangsa. Bilangan penerbitan bersih (net papers) bagi tempoh 2020 hingga 2024 meningkat sebanyak 7.46 peratus, manakala jumlah sitasi bersih, tidak termasuk sitasi kendiri, bagi tempoh 2020 hingga 2025 meningkat sebanyak 23.94 peratus. Peningkatan ini mencerminkan kualiti dan keterlihatan penyelidikan USM yang semakin mendapat pengiktirafan dalam komuniti akademik global.
 
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen kolektif seluruh warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan institusi di peringkat antarabangsa.
 
“Peningkatan kedudukan ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa. Kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh warga universiti termasuk staf akademik, penyelidik, pelajar, alumni dan kakitangan sokongan yang sentiasa komited dalam memperkukuh reputasi USM di persada dunia,” katanya.
 
Beliau turut menegaskan bahawa USM akan terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi melalui penyelidikan berimpak tinggi, pengantarabangsaan strategik, pembangunan bakat global serta komitmen yang berterusan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan/Lestari (SDG).
 
Pencapaian ini bukan sekadar peningkatan dalam kedudukan ‘ranking’ antarabangsa, malah mencerminkan keupayaan USM untuk terus menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, membina jaringan kolaborasi global yang kukuh serta melahirkan graduan yang mampu bersaing dan menyumbang di peringkat antarabangsa.
 
Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, pencapaian ini turut memperlihatkan kekuatan dan kematangan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia. Ia membuktikan bahawa universiti tempatan mampu bersaing dengan institusi terbaik dunia sambil terus menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi, kelestarian dan kemajuan negara.
 
Teks:
Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd 
Pengarah
Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC) 
 
Suntingan: 
Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail
Perunding Editorial Kanan @ MPRC USM
 

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025