USM PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN EROPAH MELALUI KUNJUNGAN HORMAT DUTA BESAR SWITZERLAND DAN JERMAN
USM PULAU PINANG, 16 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Chantal Moser, Duta Besar Switzerland ke Malaysia; Tuan Yang Terutama Silke Riecken-Daerr, Duta Besar Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia; dan Dato’ Hans Brenner, Konsul Kehormat Republik Persekutuan Jerman di Pulau Pinang.
Delegasi tersebut telah disambut mesra oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, USM.
Turut hadir bersama Naib Canselor ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran, serta beberapa ketua jabatan universiti.
Pertemuan tersebut menjadi wadah penting bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, dan penglibatan antarabangsa.
Antara fokus utama ialah memperkukuh jaringan akademik, merancakkan inisiatif penyelidikan bersama, serta memperluas program mobiliti pelajar antara USM dengan institusi di Switzerland dan Jerman.
Kunjungan tersebut sekali gus menegaskan komitmen USM dalam memperluas rangkaian globalnya, khususnya di rantau Eropah, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing dengan pendedahan antarabangsa.
Kehadiran kedua-dua duta besar serta konsul kehormat itu turut mencerminkan kepentingan diplomasi akademik Malaysia–Eropah dalam mencapai matlamat bersama berkaitan inovasi, kelestarian, dan perkongsian ilmu.
USM telah lama dikenali sebagai hab kolaborasi antarabangsa dengan rangkaian aktif di Asia, Eropah, dan pelbagai negara lain.
Kunjungan hormat berkenaan mengukuhkan lagi peranan USM sebagai jambatan persefahaman silang budaya dan pemangkin kepada penyelidikan berimpak tinggi yang mampu menangani cabaran global.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 174