USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWA TERBEBAN KOS HIDUP TINGGI

DSC 0284

PULAU PINANG, 26 Dis.2013 – Peningkatan kos sara hidup rentetan kenaikan harga minyak dan gula baru-baru ini turut dirasai sebilangan besar mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya yang bergantung penuh kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Speaker Dewan Perundingan Pelajar (DPP) sidang 2013/2014 USM, Mohamad Haziq Al Amir Mohd berkata, isu kenaikan kos sara hidup telah disuarakan ahli DPP dalam usul tergempar ketika mesyuarat bersidang Sabtu lalu.

Katanya, DPP berpendapat bahawa kenaikan kos sara hidup dikhuatiri akan mengancam kualiti hidup masyarakat Malaysia khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan juga mahasiswa.

Tambah beliau, usul tersebut telah disuarakan oleh Mohamad Shafiq Kamaruddin. Beliau juga adalah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM bagi sidang akademik 2013/2014.

Mohamad Shafiq pula berkata, perbahasan isu itu menuntut agar pihak kerajaan  dapat mengkaji semula jumlah pinjaman PTPTN yang diperuntukkan kepada para pelajar, selaras dengan peningkatan pelbagai harga barangan termasuk makanan dan kelengkapan harian.

``Permohonan untuk kerajaan mengkaji semula kadar pinjaman PTPTN bukan bermakna mahasiswa USM menyokong kenaikan harga barangan sebaliknya mencari penyelesaian yang lebih efisien untuk menyelesaikan beban kewangan pelajar.

``Sebagai contoh, dengan pinjaman berjumlah RM3,500 bagi setiap semester, secara purata pelajar hanya boleh berbelanja kurang dari RM10 sehari setelah ditolak dengan yuran pengajian dan penginapan,’’ ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas yang didakan bagi memberi pandangan terbuka kepada pihak kerajaan dalam isu-isu nasional yang turut mempengaruhi golongan mahasiswa dan komuniti di sekitarnya.

Katanya, jumlaah sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan mahasiswa, sekaligus memberi tekanan untuk golongan pelajar merancang perbelanjaan harian mereka.

Jelasnya, pihak kerajaan diharap dapat menyediakan pelan penjimatan yang efisien dalam urus tadbir negara, selain turut mengkaji semula penggunaan kad diskaun siswa 1Malaysia supaya penggunaannya mencakupi barangan keperluan asas seperti makanan dan minuman.

``Kajian terperinci perlu dilakukan memandangkan diskaun yang diberikan tidak merangkumi keperluan yang benar-benar kritikal kepada pelajar, malah ada sesetengahnya tidak dapat diakses oleh sebilangan besar mahasiswa pun,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Haziq turut menambah, DPP turut memberi perhatian serius mengenai isu Aqidah umat Islam dan penyebaran fahaman-fahaman songsang yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Katanya, DPP menuntut supaya pihak yang berkaitan dapat melaksanakan satu penyelesaian khusus dalam mendepani ancaman terhadap agama Islam, termasuk mengambil langkah menjadikan Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah sebagai Aqidah rasmi umat Islam di negara ini.

DPP juga jelasnya turut membahaskan isu tuntutan Comango (Coalition of Malaysian NGOs) yang disifatkan sebagai tidak berasas, selain turut menyeru rakyat di negara ini menolak tuntutan-tuntutan yang diinginkan pihak terbabit.

Katanya, antara tuntutan yang diminta adalah berkaitan hak kebebasan beragama, hak asasi manusia yang mengelirukan dan sebagainya yang disifatkan membelakangi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi Malaysia. Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2286

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024