USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI, SOKONG AMALAN PENGKUARIAN LESTARI FYS MARKETING SDN. BHD.

WhatsApp Image 2026 06 18 at 16.39.40 3

NIBONG TEBAL, 9 Jun 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri menerusi kerjasama berterusan dengan FYS Marketing Sdn. Bhd., yang kini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Green Quarry Edutourism pertama di Malaysia.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen syarikat tersebut dalam memperkasakan amalan pengkuarian yang lebih lestari, bertanggungjawab dan berteraskan pembangunan ilmu, selari dengan keperluan semasa sektor sumber mineral negara.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, pencapaian yang diraih oleh FYS bukan sahaja membanggakan industri, malah membuktikan potensi besar kerjasama strategik antara universiti dan industri dalam menghasilkan nilai tambah kepada negara.

Menurut beliau, hubungan kerjasama antara USM dan FYS Marketing Sdn. Bhd. telah terjalin sejak tahun 2017 melalui pelbagai inisiatif melibatkan penyelidikan, latihan industri, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi.

“Kolaborasi ini memperlihatkan bagaimana universiti dan industri saling melengkapi peranan masing-masing. Universiti menyediakan asas ilmu dan penyelidikan, manakala industri menjadi platform aplikasi sebenar yang memberi manfaat kepada sektor dan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sektor sumber mineral memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, namun sering berdepan cabaran berkaitan persepsi masyarakat serta isu kelestarian alam sekitar.

Sehubungan itu, pengiktirafan Green Quarry Edutourism yang diterima oleh FYS membuktikan bahawa operasi pengkuarian moden mampu dilaksanakan secara lestari dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, pemeliharaan alam sekitar dan pendidikan masyarakat.

Tambah beliau, pendekatan edutourism yang diterapkan oleh FYS membuka ruang kepada pelajar, penyelidik, agensi kerajaan, pemain industri dan masyarakat umum untuk memahami operasi pengkuarian secara lebih dekat dan berasaskan fakta.

“Melalui pendekatan ini, ilmu dapat disebarluaskan, kesedaran dapat dipertingkatkan dan persepsi masyarakat terhadap industri dapat dibentuk berdasarkan kefahaman yang lebih tepat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai sebuah universiti penyelidikan, USM komited untuk terus menyumbang melalui kepakaran akademik dan teknikal, khususnya menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

Beliau turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa sinergi antara akademia dan industri mampu menghasilkan impak yang signifikan serta wajar diteruskan dan diperluaskan ke bidang-bidang lain yang relevan.

“Semoga hubungan kerjasama yang telah terjalin ini akan terus diperkukuh dan diperluaskan bagi menyokong perkembangan industri dan penyelidikan negara,” katanya.

Teks: Siti Faizah Abd Halim (USM KKTSS)

  • Created on .
  • Hits: 213

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025