USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS ANUGERAH SUKAN USM KALI KE-45 RAI KECEMERLANGAN ATLET, PERKASA PEMBANGUNAN SUKAN UNIVERSITI

 

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 16 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi apabila meraikan kecemerlangan atlet, jurulatih, dan warga sukan menerusi Majlis Anugerah Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Kali Ke-45 yang berlangsung penuh gemilang di G Hotel, Pulau Pinang.

Majlis berprestij anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi USM yang menjadi acara tahunan universiti itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Dalam ucapan perasmiannya, Naib Canselor menegaskan bahawa USM akan terus memperkukuhkan agenda pembangunan sukan sebagai salah satu komponen penting dalam melahirkan graduan yang holistik, berkepimpinan, dan berdaya saing.

Beliau berkata, “Sukan bukan sekadar medan memburu pingat dan kejuaraan, malah merupakan wahana penting dalam membentuk sahsiah, disiplin, kepimpinan, daya tahan mental, semangat berpasukan, dan nilai integriti dalam kalangan mahasiswa.”

“Kejayaan yang diraikan pada malam ini merupakan hasil sinergi erat antara atlet, jurulatih, pegawai, staf sokongan, dan pihak pengurusan universiti.

“Sehubungan itu, USM akan terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama sektor korporat, Kementerian Pendidikan Tinggi, Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri, persatuan sukan kebangsaan serta pelbagai agensi berkaitan bagi memperkasa pembangunan bakat atlet, meningkatkan kepakaran kejurulatihan, memperluas penyelidikan sukan, dan memperkukuhkan ekosistem sukan berprestasi tinggi di universiti,” jelasnya.

Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik termasuk MILO Sdn. Bhd., Lavis Sdn. Bhd., Optimum Capacity Sdn. Bhd., dan Edaran Automobil Nasional Berhad (EON) atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda pembangunan sukan USM.

Penganjuran majlis tersebut merupakan simbol penghargaan universiti kepada atlet, jurulatih, pegawai dan warga sukan yang telah mempamerkan prestasi cemerlang serta mengharumkan nama USM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang Sidang Akademik 2025/2026.

Selain meraikan kejayaan, majlis tersebut turut menjadi platform mengiktiraf komitmen, dedikasi, dan semangat juang yang menjadi asas kepada pembangunan sukan universiti.

Seramai 36 Ketua Pasukan menerima Sijil Penghargaan, manakala 32 Jurulatih turut diraikan atas dedikasi dalam membimbing atlet dan pasukan universiti.

Turut disampaikan ialah Anugerah Sijil Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Separuh Warna kepada atlet yang berada di sidang akhir pengajian dan mewakili pasukan utama universiti, serta Anugerah Warna Penuh kepada atlet yang bukan sahaja mewakili pasukan utama universiti malah berjaya mencatat sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam kejohanan peringkat MASUM atau setaraf dengannya.

Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan USM dalam menghargai setiap individu yang menyumbang kepada kecemerlangan sukan universiti.

Kemuncak majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada pasukan dan atlet terbaik yang mencipta kecemerlangan.

Bagi Anugerah Pasukan Terbaik Kategori 6 Orang dan Ke Bawah, Pasukan Bola Tampar Pantai Wanita dinobatkan sebagai pemenang kategori wanita, manakala Pasukan Bola Keranjang 3-on-3 Lelaki muncul sebagai pasukan terbaik kategori lelaki.

Bagi Anugerah Pasukan Terbaik Kategori 7 Orang dan Ke Atas, Pasukan Bola Jaring Wanita berjaya meraih pengiktirafan kategori wanita, manakala Pasukan Hoki Lelaki dan Pasukan Bola Tampar Lelaki berkongsi pengiktirafan sebagai Pasukan Terbaik kategori lelaki hasil pencapaian cemerlang yang dipamerkan di peringkat kebangsaan.

Dalam kategori atlet muda, Pritiswary A/P Muniswaran daripada sukan Memanah dinobatkan sebagai Bintang Harapan Wanita, sementara Neo Jun Jen daripada sukan Bola Keranjang menerima Anugerah Bintang Harapan Lelaki, sekali gus membuktikan potensi besar kedua-dua atlet sebagai pelapis yang mampu mengharumkan nama universiti pada masa hadapan.

Malam penuh bermakna itu mencapai kemuncaknya apabila Amir Daniel Abdul Majeed dari sukan Judo diumumkan sebagai Olahragawan USM Sidang Akademik 2025/2026, manakala Noor Aishah Iskandar dari sukan Bola Tampar Pantai dinobatkan sebagai Olahragawati USM.

Amir Daniel bagaimanapun tidak dapat hadir menerima anugerah kerana sedang menjalani latihan intensif bersama Pasukan Judo Kebangsaan di Mongolia sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia (Asian Games) 2026.

Anugerah tersebut telah diterima oleh ibunya, Yeoh Suat Khim, yang mewakili beliau pada majlis tersebut, sekali gus menerima penghargaan daripada seluruh hadirin atas komitmen beliau menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.

Anugerah tertinggi pada malam berkenaan, iaitu Anugerah Ungu, telah disampaikan kepada Shanggamithara A/P Parameswaran daripada sukan Floorball sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan luar biasa beliau yang berjaya mengharumkan nama USM menerusi pencapaian cemerlang bersama pasukan universiti dan negara di peringkat antarabangsa.

Majlis Anugerah Sukan USM Kali Ke-45 bukan sahaja menjadi medan meraikan kejayaan, malah menjadi manifestasi komitmen berterusan universiti dalam membangunkan ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengiktirafan yang diberikan diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga atlet untuk terus melakar kejayaan yang lebih gemilang, sekali gus mengangkat nama USM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang cemerlang dalam bidang sukan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim; barisan Panel Jawatankuasa Anugerah Sukan Sidang Akademik 2025/2026, Profesor Madya Dr. Nazaruddin Zainun; rakan-rakan penaja, atlet, jurulatih serta tetamu jemputan.

Teks: Siti Salwa Suhaida Mohamad Ibrahim, Pusat Sukan dan Rekreasi, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 388

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025