USM TERPILIH SERTAI PAMERAN DEFENCE SERVICES ASIA (DSA) 2026 DAN NATIONAL SECURITY (NATSEC) ASIA 2026
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – BitRanger Sdn. Bhd., sebuah syarikat terbitan (spin-off) daripada Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber (Cybersecurity Research Centre, CYRES), Universiti Sains Malaysia (USM), telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mempamerkan OwlSight, iaitu penyelesaian Security Operations Centre (SOC)-as-a-Service yang mengintegrasikan teknologi terkini secara lancar dengan analisis pakar berasaskan human-in-the-loop di pameran Defence Services Asia (DSA) 2026 dan National Security (NATSEC) Asia 2026.
Acara berprestij tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Turut mewakili USM ialah Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; dan Pengarah Pejabat Jaringan Industri, BJIM, USM, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil.
Dianjur bersama Kementerian Pertahanan Malaysia selaku tuan rumah bersama penganjur DSA Exhibition and Conference, DSA merupakan pameran pertahanan dan keselamatan tanah air terbesar di Asia yang menampilkan antara teknologi, sistem, perkakasan, dan keupayaan peperangan elektronik paling maju di dunia.
Edisi ke-19 DSA yang sedang berlangsung dari 20 hingga 23 April 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) di sini diadakan serentak dengan NATSEC Asia 2026.
Lebih 1,400 syarikat antarabangsa dari lebih 60 negara mengambil bahagian dengan mempamerkan inovasi dalam bidang kepolisan, penjagaan kesihatan medan perang, sistem platform berasaskan laut, sistem latihan dan simulasi serta teknologi keselamatan termaju.
USM berbangga kerana terpilih untuk mempamerkan penyelesaian inovatif bagi sektor keselamatan dan pertahanan Malaysia, sekali gus mengetengahkan keupayaan keselamatan siber yang dibangunkan di Malaysia dalam memperkukuh keselamatan negara.
Diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Shankar Karuppayah, BitRanger Sdn. Bhd. membentangkan penyelesaian yang telah dikomersialkan hasil daripada penyelidikan dan inovasi yang dijalankan di CYRES.
Usaha ini mencerminkan komitmen USM dalam menterjemahkan kecemerlangan penyelidikan kepada teknologi keselamatan siber yang praktikal dan dengan kos mampu milik bagi memperkasa organisasi di Malaysia serta menyokong daya tahan digital negara.
Teks Asal: Profesor Madya Ts. Dr. Wan Maryam Wan Ahmad Kamil, Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), USM dan Profesor Madya Ts. Dr. Shankar Karuppayah, Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber (CYRES), Pusat Pengajian Sains Komputer, USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 41