NAIB CANSELOR USM TERIMA ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH NEGERI PULAU PINANG 1448H/2026M

BALIK PULAU, 17 Jun 2026 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, hari ini menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 1448H/2026M sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, dan kemajuan masyarakat.
Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Seri Al-Jazari, TVET MARA, Balik Pulau.

Penganugerahan ini adalah suatu penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap kepimpinan, ketokohan, dan sumbangan berterusan Abdul Rahman dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara serta memacu agenda pembangunan insan, kemajuan ilmu, dan kesejahteraan masyarakat.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang dilahirkan pada 14 Januari 1964 itu memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD.) dalam Kejuruteraan Kimia dan telah menabur bakti selama lebih tiga dekad dalam dunia akademik. Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam memperkasa budaya penyelidikan, inovasi, dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah, Abdul Rahman menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan besar yang turut membuktikan komitmen serta dedikasi seluruh warga USM.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas penganugerahan ini. Sesungguhnya, anugerah ini bukanlah milik saya secara peribadi, sebaliknya merupakan pengiktirafan kepada seluruh warga Universiti Sains Malaysia yang sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan tinggi, memperkasa penyelidikan dan inovasi serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” kata beliau.

Beliau turut berharap pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk memperkukuh budaya ilmu, memperkasa nilai Islam serta memperluas impak pendidikan dan penyelidikan demi kemajuan ummah dan kesejahteraan sejagat.

Sepanjang kerjayanya, Abdul Rahman telah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Pembantu Pengajar di University of New Hampshire, Amerika Syarikat (1988–1993), Pensyarah USM (1993), Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, Pengarah Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan USM, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, sebelum dilantik sebagai Naib Canselor USM pada tahun 2023.
Di peringkat nasional, beliau turut memainkan peranan strategik dalam pelbagai badan dan jawatankuasa penting negara, termasuk sebagai Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (2023–kini), Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Anugerah Akademik Negara Ke-16, Kementerian Pendidikan Tinggi (2024–kini), Timbalan Pengerusi Malaysian Research University Network (MRUN), Kementerian Pendidikan Tinggi (2025–2026), serta Pengerusi Task Force Pembangunan Bakat dan Syarikat Pemula Bumiputera dalam Industri Semikonduktor di bawah Jabatan Perdana Menteri (2025–kini).

Beliau juga berperanan sebagai Penyelaras Konsortium Elektrik dan Elektronik bagi Pelaksanaan Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3), Kementerian Pendidikan Tinggi (2023–2026), Felo Akademi Sains Malaysia (2014–kini), Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (2023–kini) serta Anggota Majlis Penyeliaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) (2025–kini).
Kecemerlangan Abdul Rahman turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah dan darjah kebesaran sepanjang kerjayanya. Antaranya ialah penerimaan Bintang Cemerlang Negeri (BCN) Pulau Pinang pada tahun 2007, Johan Mangku Negara (JMN) pada tahun 2017, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun 2018, Darjah Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ), Perlis pada tahun 2019, Anugerah Tokoh Pendidikan sempena Sambutan Maal Hijrah 1444H, Darjah Gemilang Pangkuan Negeri Pulau Pinang (DGPN) pada tahun 2023, Anugerah Saintis Cemerlang Kementerian Pendidikan Tinggi, pengiktirafan sebagai Top Research Scientist Malaysia oleh Akademi Sains Malaysia serta Malaysia's Rising Star Award.

Penerimaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 1448H/2026M ini mengukuhkan lagi reputasi beliau sebagai seorang tokoh akademik dan pemimpin pendidikan yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan modal insan, kemajuan ilmu pengetahuan, dan pengukuhan ekosistem penyelidikan negara.
Anugerah tersebut turut menunjukkan komitmen berterusan Universiti Sains Malaysia dalam melahirkan kepimpinan berwibawa, memacu kecemerlangan akademik serta menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat berteraskan ilmu, inovasi, dan nilai murni.
Seluruh warga Universiti Sains Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas penganugerahan yang amat bermakna ini, yang sekali gus mengharumkan nama universiti serta memperkukuh kedudukan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang terus menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, Konsultan Editorial Kanan @MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 348