USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PROJEK TEKNOLOGI HIJAU DILANCAR DI MELAKA

1486883 10202604716670183 129010141 n

Melaka, 23 Disember 2013 - Tiga projek teknologi hijau dilancarkan hari ini melalui Program Pemindahan Ilmu Kementerian Pendidikan Malaysia bersama-sama kerajaan negeri Melaka dan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri.

Ketiga-tiga projek tersebut ialah Kelestarian Tenaga Dicapai Menerusi Audit Tenaga dan Amalan Terbaik Kecekapan Tenaga Di Sekolah Menengah Terpilih Melaka diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd. Shafiei dari Universiti Sains Malaysia (USM) Vermikompost Untuk Kitar Semula Sisa Pepejal Bandar bagi Mempromosi Teknologi Hijau yang diketuai oleh Profesor Dr. Azni Idris dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pemindahan Teknologi Lestari untuk Menyahtoksik Pencemar Udara Persekitaran Dalam dengan Foto pemangkin di Bawah Cahaya Nampak: Ke Arah Bangunan Hijau yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Srimala Sreekantan dari USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang merupakan Pengerusi Projek Agenda Kritikal Baharu Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) - Program Pemindahan Ilmu ketika berucap di majlis perasmian Bengkel Projek Pemindahan Ilmu di sini berkata, Program Pemindahan Ilmu berupaya untuk menjana pembangunan modal insan dan intelek dalam merealisasikan hasrat Ilmu untuk Semua.

1517497 10202604717270198 1124657133 n

Program ini dirangka untuk menggalakkan pemindahan ilmu di universiti awam ke dalam masyarakat dengan mensasarkan industri dan komuniti dalam memperluas dan memperkukuhkan ilmu ke dalam masyarakat.

“Program ini dilihat juga sebagai satu jalan penyelesaian bagi pengukuhan ilmu dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan industri dan komuniti di seluruh negara selaras dengan konsep kerangkuman dan penjanaan pendapatan tinggi rakyat menjelang tahun 2020,” kata Omar.

Program Pemindahan Ilmu ini dilaksanakan sejak tahun 2012 secara rasmi yang berusaha mengiktiraf dan menggalakkan pemindahan ilmu melalui pertukaran idea yang kreatif dan inovatif menggunakan kepakaran dan pengalaman para ilmuwan yang terdapat di dalam pelbagai universiti awam di seluruh negara.

Hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri Melaka, Dato’ Wira Haji Yunos Husin, Pengarah Penyampaian Sektor Awam Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Amin Khan, Pengarah Pejabat Pengurusan Program  Kementerian Pendidikan Profesor Madya Dr. Norhayati Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Negeri Melaka Haji Kamaruddin Md. Shah. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1552

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024