PERTANDINGAN YOUNG BRAINER 2026: HBP-USM RAIH PINGAT EMAS, MEMUPUK BAKAT SISWAZAH
USM PULAU PINANG, 22 April 2026 – Satu kejayaan membanggakan telah tercipta dalam Pertandingan ‘Young Brainer 2026’ apabila sekumpulan pelajar daripada program Ukur Bangunan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM), berjaya meraih anugerah Pingat Emas di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
Pasukan yang terdiri daripada Mohammad Afif Farhan Shaari, Wong Min Wei, Muhammad Afifi Fauzan Roduan dan Muhammad Afiq Thaqif Razali telah mempersembahkan projek inovatif mereka yang bertajuk “EcoFoam: Revolutionising Housing with Sustainable Waste-Based Concrete Blocks,” yang berjaya memikat perhatian panel juri dan mengatasi persaingan sengit melibatkan 200 peserta daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
Di bawah bimbingan Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin dan Sr. Nuzaihan Aras Agus Salim, kejayaan pasukan ini telah memperkukuh lagi reputasi HBP dalam penyelidikan pembinaan mampan di Malaysia, selaras dengan SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) yang menggalakkan pembangunan infrastruktur yang mampan dan inovatif.
Bimbingan mereka telah menyediakan asas yang kukuh kepada para pelajar untuk menterjemahkan idea kepada projek yang diiktiraf di peringkat kebangsaan, sekali gus mencerminkan komitmen HBP terhadap SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui penyediaan pendidikan yang menyokong penyelidikan dan inovasi.
Melalui penyediaan platform dan sokongan yang mantap untuk pelajar terlibat dalam penyelidikan, HBP sedang melatih penyelidik masa hadapan yang akan memainkan peranan penting dalam memajukan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) menerusi pembinaan mampan dan inovasi teknologi.
Selain itu, Projek EcoFoam bukan sahaja menangani cabaran kelestarian sejajar dengan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), malah menunjukkan bagaimana bahan buangan boleh digunakan semula untuk menghasilkan blok konkrit yang lebih mesra alam dan kos efektif.
Inovasi seperti ini membuktikan bahawa pelajar HBP bukan sahaja mampu memahami isu semasa, malah berupaya menghasilkan penyelesaian praktikal yang memberi impak positif kepada industri pembinaan negara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan selaras dengan SDG 13 (Tindakan Iklim).
Md Azree, yang juga Dekan HBP berkata, “Sebagai seorang dekan, saya komited untuk memimpin melalui teladan serta memberi inspirasi kepada staf akademik dan pelajar untuk mencapai kecemerlangan.”
“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan bimbingan yang tepat, sokongan berterusan, dan semangat kolaboratif, pelajar kita mampu mencapai tahap yang luar biasa dalam penyelidikan dan inovasi.
“Pertandingan ‘Young Brainer 2026’ menyediakan platform kepada pelajar siswazah muda untuk mempamerkan penyelidikan dan kreativiti mereka, sekali gus menyemarakkan minat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). Dengan menyediakan platform seperti ini, kami menyokong aspirasi mereka dan menggalakkan mereka menyumbang kepada kemajuan global dalam bidang masing-masing,” katanya.
Md Azree menambah, “HBP kini memberi tumpuan untuk merealisasikan komitmen yang telah dimeterai bersama universiti menerusi program utamanya, Next Gen Talent: Competition & Innovation.
“Inisiatif ini direka untuk mewujudkan ekosistem yang mempromosikan inovasi melalui sokongan pertandingan, pembiayaan yang mudah diakses serta peningkatan keterlihatan pencapaian staf dan pelajar.
“Menerusi Next Gen Talent, HBP beraspirasi untuk menjadi peneraju di USM dan mengetuai usaha sebagai perintis dalam memacu penyelidikan terkini melalui pertandingan dan inovasi.
“Dengan menyediakan alat, sokongan, dan platform yang diperlukan, HBP sedang meletakkan asas bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang akan memainkan peranan penting dalam memajukan standard industri dan menyumbang kepada kemajuan global,” tegas beliau.
Beliau menjelaskan lagi, “Dengan memperkasakan pelajar siswazah untuk berusaha melangkaui batas penyelidikan dan kreativiti, HBP sedang menetapkan penanda aras baharu dalam menyemai budaya kecemerlangan dan menerajui pemikiran kepimpinan dalam bidang pembinaan mampan dan lain-lain bidang berkaitan.
“Kejayaan pasukan ini selaras dengan matlamat yang lebih luas dalam agenda ‘HEBAT USM’ yang memberi tumpuan kepada pembentukan individu yang holistik, berjiwa keusahawanan, seimbang, petah bertutur, dan berfikiran kritis.
“Agenda HEBAT (‘Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking’) menekankan pembangunan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemimpin dan inovator dalam bidang masing-masing.
“Dengan memupuk persekitaran yang menggalakkan pelajar berinovasi, berfikir secara kritis, dan terlibat dalam penyelidikan, HBP menghayati nilai-nilai HEBAT dalam melahirkan pelajar yang bersedia menerajui masa depan pembinaan mampan dan inovasi teknologi,” kata Md Azree.
Kejayaan ini juga mencerminkan komitmen Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang sentiasa menekankan kepentingan membudayakan pemikiran penyelidikan dalam kalangan pelajar.
Naib Canselor sering menegaskan bahawa untuk melahirkan profesional yang berdaya saing di peringkat global, pendekatan berasaskan penyelidikan perlu diterapkan sejak peringkat awal pendidikan tinggi.
“Ini menunjukkan bahawa USM bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembelajaran teori, malah menggalakkan penglibatan aktif dalam penyelidikan yang mampu menyumbang kepada kemajuan industri dan masyarakat.
“Penyelidikan bukan sahaja menjadi asas kepada pembelajaran, malah bertindak sebagai pemangkin kepada inovasi dan penciptaan penyelesaian baharu yang relevan dengan keperluan semasa. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan graduan USM menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, tetapi juga keupayaan untuk mencipta perubahan melalui penyelidikan,” katanya.
Naib Canselor turut berkata, “Pencapaian ini juga mencerminkan dedikasi HBP-USM dalam melahirkan penyelidik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kreativiti dan inovasi yang tinggi untuk menghasilkan penyelesaian yang relevan dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.”
“Seperti banyak pusat pengajian lain dalam universiti, HBP-USM telah lama memupuk budaya penyelidikan sejak peringkat prasiswazah, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai institusi yang berdaya saing di pentas antarabangsa.
“Dengan pencapaian ini, HBP-USM telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja melahirkan profesional yang mampu bersaing di peringkat global, malah penyelidik yang mampu memacu perubahan signifikan dalam dunia pembinaan dan pembangunan mampan pada masa hadapan,” tambah beliau.
Teks Asal: Jawatankuasa Pendigitalan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM /Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Wong Min Wei & Mohammad Afif Farhan Shaari, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM
- Created on .
- Hits: 41