USM TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI NYCU, PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK DALAM BIOPERUBATAN
USM PULAU PINANG, 14 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengalu-alukan kehadiran Profesor Dr. Dar-Bin Shieh, Naib Presiden National Yang Ming Chiao Tung University (NYCU), Taiwan bersama delegasi universiti terkemuka tersebut dalam satu kunjungan hormat ke kampus induk USM.
Lawatan tersebut mencerminkan hubungan strategik yang semakin kukuh antara USM dan NYCU, khususnya dalam bidang antara disiplin yang merangkumi sains bioperubatan, mikroelektronik, dan penyelidikan translasi.
Kedua-dua institusi menyatakan komitmen untuk memajukan inovasi bioperubatan generasi baharu berdasarkan visi bersama yang diketengahkan menerusi Taiwan–Malaysia Biomedical Forum 2026 yang sedang berlangsung.
Ketika berucap pada sesi sambutan tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menegaskan bahawa kerjasama ini bukan sekadar hubungan formal antara institusi.
Ia mencerminkan komitmen bersama dalam memanfaatkan kekuatan saling melengkapi, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI), diagnostik molekul, biokejuruteraan, inovasi cip serta teknologi semikonduktor bagi aplikasi peranti bioperubatan.
“Sinergi ini berpotensi menangani cabaran kesihatan global yang semakin kompleks sambil mempercepatkan pemindahan hasil penyelidikan kepada penyelesaian klinikal dan industri yang berimpak tinggi melalui inovasi dalam teknologi semikonduktor. Penggabungan teknologi semikonduktor dan bioperubatan akan memainkan peranan penting dalam memajukan aplikasi peranti perubatan generasi akan datang.”
“USM, menerusi platform seperti Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) dan Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), terus komited dalam memupuk kerjasama antarabangsa berimpak tinggi,” katanya.
Beliau menambah, “Kerjasama dengan institusi berprestij seperti NYCU dilihat sebagai pemangkin kepada kerjasama penyelidikan yang bermakna, usaha pertukaran bakat, dan pengukuhan ekosistem bioperubatan Taiwan–Malaysia.”
Naib Canselor turut menyatakan keyakinan bahawa lawatan ini akan mempererat hubungan akademik, membuka peluang baharu untuk inisiatif bersama serta meletakkan asas kepada kerjasama jangka panjang yang berterusan.
Sebagai rekod, kerjasama antara USM dan NYCU bermula dengan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) pada Disember 2024 antara INFORMM dan College of Engineering Bioscience.
Kerjasama ini terus diperkukuhkan pada pertengahan tahun 2025 menerusi kolaborasi CEDEC dengan International College of Semiconductor Technology dan College of Engineering Bioscience di NYCU, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam hubungan akademik dan penyelidikan antara Taiwan dan Malaysia.
Antara hadirin lain yang turut serta mewakili USM adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab; Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha; Pengarah INFORMM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; dan Pengarah CEDEC, Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf.
Teks Asal: Tan Ewe Hoe/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 46