NAIB CANSELOR UCAP SELAMAT HARI KRISMAS DAN TAHUN BAHARU 2014
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaludin mewakili kepimpinan tertinggi universiti mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baharu 2014 kepada seluruh warga USM, para alumni, saudara-mara dan rakan taulan di mana sahaja mereka berada.
“Marilah kita sama-sama meraikan sambutan Krismas yang menjelang tiba dengan penuh kesyukuran, kasih sayang dan dalam semangat yang akan terus membawa kemajuan kepada kita serta mengeratkan lagi perhubungan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan, yang bukan setakat semangat toleransi, malah yang lebih penting semangat saling menghormati dan mempercayai antara satu lain,” kata Omar.
Katanya lagi, selain menyambut perayaan ini bersama keluarga, sahabat dan orang yang tersayang, perayaan seperti ini juga memberikan peluang untuk kita berhimpun dan menghulurkan sumbangan dan bantuan ihsan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan daif termasuklah mereka yang hidup sebagai gelandangan di jalanan dengan harapan mereka akan dapat sama-sama menyambut perayaan ini dalam suasana gembira.
“Dalam suasana kegembiraan begini, jangan lupa juga mereka yang ditimpa pelbagai musibah seperti mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, mereka yang berhadapan krisis peperangan, penindasan, bencana alam semulajadi dan krisis kemanusiaan lainnya serta mengambil iktibar dan bersyukur dengan segala nikmat yang dikecapi selama ini,” tambah Omar.
Naib Canselor juga mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2014 kepada semua dan mengharapkan tahun baharu ini akan membawa lebih banyak lagi kesejahteraan, kebahagiaan dan kecemerlangan kepada semua, apatah lagi kepada Universiti.
“Saya amat bersyukur kerana Universiti telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang tahun 2013 ini, dan saya percaya tahun 2014 akan menyaksikan lebih banyak lagi cabaran apatah lagi USM sedang memasuki Fasa 2 APEX.
“Oleh itu, saya amat mengharapkan seluruh warga universiti di semua peringkat jawatan serta pelajar dan juga pemegang taruh universiti yang lain akan terus memberi sokongan dan komitmen yang bersepadu untuk bergerak bersama-sama sebagai satu pasukan yang mantap dalam menghadapi segala cabaran serta menzahirkan segala amanah dan tanggungjawab yang ada untuk mermartabatkan lagi Menara Ilmu dan universiti kita ini ke puncak kecemerlangan bertaraf dunia,” kata Omar lagi.
Kepada warga staf yang akan bercuti dengan keluarga pada penghujung tahun ini, Naib Canselor turut mengucapkan selamat bercuti dan mengingatkan semua untuk lebih berhati-hati dan tanamkan perasaan sabar ketika memandu.
SELAMAT HARI KRISMAS DAN TAHUN BAHARU 2014.
- Created on .
- Hits: 1307