PELAJAR HBP-USM CIPTA KEJAYAAN DI IIEF2026 MELALUI INOVASI TERKINI MENYOKONG SDG 9 DAN SDG 12
KULIM, KEDAH, 15 April 2026 – Sekumpulan pelajar program Ukur Bangunan dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencatat kejayaan membanggakan di pameran ‘International Innovation & Exhibition Fair 2026’ (IIEF2026), yang berlangsung baru-baru ini di Kolej MARA Kulim, Kedah.
Wong Min Wei dan Muhammad Afiq Thaqif Razali telah dipilih sebagai penerima anugerah berprestij 'Excellence in Innovation Award' bagi inovasi terbaik keseluruhan, mengatasi 260 projek lain yang bertanding dalam bidang yang sama.
Inovasi mereka yang memenangi anugerah tersebut, bertajuk “From Waste to Wonder: Sustainable Foamed Concrete Blocks for a Greener Tomorrow”, berjaya menarik perhatian juri kerana potensinya yang luar biasa dalam mempromosikan kelestarian dan menangani cabaran alam sekitar yang mendesak dalam industri pembinaan.
Projek inovatif itu memberi tumpuan kepada penukaran bahan buangan kepada blok konkrit berbuih (foamed concrete) mesra alam, sekali gus menyediakan bahan binaan mampan yang dapat mengurangkan jejak karbon dalam pembinaan, sekali gus menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan peka terhadap alam sekitar.
Inovasi tersebut bukan sahaja menawarkan penyelesaian praktikal kepada pengurusan sisa, malah turut selari secara langsung dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs), khususnya SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur serta SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab.
Melalui pembangunan bahan yang dikitar semula daripada sisa kepada sumber yang bernilai, hasil kerja pasukan ini menggalakkan amalan pengeluaran dan penggunaan yang bertanggungjawab, di samping memacu inovasi dalam industri pembinaan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Pencapaian signifikan ini bukan sahaja mencerminkan kreativiti dan keupayaan teknikal mereka, malah menyerlahkan komitmen dalam mencari penyelesaian praktikal terhadap cabaran kelestarian global.
Fokus projek ini terhadap usaha kitar semula sisa menjadi bahan binaan bernilai tinggi adalah sejajar dengan trend semasa kelestarian dan inovasi hijau dalam industri pembinaan, sekali gus menghasilkan penyelesaian yang berpandangan jauh dan berimpak tinggi.
“Kami amat berbangga dengan Wong Min Wei dan Muhammad Afiq Thaqif Razali atas dedikasi dan usaha gigih mereka,” kata Dekan HBP, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin, yang juga merupakan salah seorang mentor mereka di USM.
“Pendekatan inovatif mereka menunjukkan keupayaan minda tenaga muda dalam menghasilkan penyelesaian yang benar-benar mampu memberi perubahan kepada alam sekitar. Kejayaan mereka mencerminkan komitmen USM dalam memupuk bakat dan menyemai kreativiti.”
Para pelajar turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan mereka kepada penyelia yang berdedikasi, iaitu Md Azree dan Sr. Nuzaihan Aras Agus Salim, yang mana bimbingan, sokongan, dan kepakaran mereka telah memainkan peranan penting dalam pembangunan projek tersebut.
Pencapaian ini juga selaras dengan visi dan misi USM, khususnya dalam melahirkan pemimpin masa depan yang menerajui inovasi dan pembangunan mampan.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan USM dalam menyumbang kepada kelestarian global, kejayaan pelajar ini menyerlahkan komitmen universiti terhadap kemajuan ilmu pengetahuan dan pembangunan penyelesaian dalam menangani cabaran dihadapi masyarakat.
Selaras dengan aspirasi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, universiti terus menggalakkan para pelajarnya untuk meneroka idea-idea terkini yang mampu memberi impak positif dan berkekalan kepada komuniti tempatan dan global.
IIEF2026 merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan inovator muda dari pelbagai negara bagi meraikan kreativiti dan kelestarian.
Md Azree menambah, “Dengan penyertaan lebih 260 pasukan yang bertanding, ‘Excellence in Innovation Award’ merupakan pengiktirafan yang sangat berprestij, dan kejayaan Min Wei serta Muhammad Afiq membuktikan pentingnya pemupukan budaya inovasi dalam landskap akademik dan penyelidikan tempatan.”
“Pencapaian besar ini bukan sahaja mengukuhkan potensi inovator muda Malaysia, malah menyerlahkan peranan penting USM dalam pembangunan bakat generasi muda.
“Komitmen USM dalam menyokong pelajar menerusi usaha inovatif mereka turut menyumbang kepada aspirasi negara untuk mencapai SDG serta membentuk masa depan infrastruktur yang mampan,” katanya.
Komuniti setempat dan warga universiti menantikan bagaimana idea terkini mereka dapat menjadi inspirasi kepada inovasi masa hadapan dalam pembinaan mampan serta menyumbang kepada usaha berterusan Malaysia dalam pemuliharaan alam sekitar.
Pencapaian ini mengukuhkan reputasi USM sebagai institusi peneraju dalam melahirkan pemimpin yang berfikiran ke hadapan dan inovatif, selain menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus melangkaui batas kreativiti dan kelestarian.
Teks Asal: Sr. Nuzaihan Aras Agus Salim, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 42