DATO’ SERI NAZIR ARIFF, KUMPULAN ASPEN MEMACU SINERGI INDUSTRI-AKADEMIA DI HBP-USM
USM PULAU PINANG, 14 April 2026 – Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini menerima kunjungan seorang tokoh terkemuka dalam industri pembinaan, Dato’ Seri Nazir Ariff Mushir Ariff, pengasas bersama dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Aspen (Group) Holdings Limited.
Kehadiran beliau disambut oleh pengurusan tertinggi dan para pensyarah HBP yang berpeluang memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai industri pembinaan dari perspektif secara menyeluruh.
Sesi perkongsian yang berlangsung dalam suasana akademik dan profesional itu memberi peluang kepada Nazir Ariff untuk berkongsi pengalaman luas serta pandangannya dalam dunia pembinaan.
Beliau menghuraikan cabaran dan peluang dalam sektor pembinaan serta berkongsi pandangan mengenai masa depan industri tersebut.
Nazir Ariff menekankan kepentingan kerjasama antara akademia dan industri dalam memastikan pembangunan sektor pembinaan yang mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata, akademia menyediakan asas teori manakala industri menawarkan ruang praktikal untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.
“Kerjasama antara universiti dan industri perlu diperkukuh. Pelajar harus diberikan peluang untuk melalui proses praktikal dunia sebenar menerusi latihan industri dan projek penyelidikan bersama,” kata Nazir Ariff.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak program kolaboratif dilaksanakan bagi memperkasakan pelajar dengan kemahiran yang relevan serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri pembinaan yang berkembang pesat.
Nazir Ariff juga berkongsi mengenai kepentingan inovasi dalam sektor pembinaan.
Menurut beliau, inovasi bukan sahaja melibatkan teknologi baharu, malah turut merangkumi kaedah pengurusan projek dan penggunaan sumber yang lebih cekap.
“Pembinaan mampan dan penggunaan teknologi hijau kini menjadi fokus utama dalam industri. Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti projek, malah mengurangkan kos dan masa,” tambah beliau.
Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai teknologi pintar dalam pembangunan bandar yang membolehkan perancangan dilakukan dengan lebih cekap dan mesra alam.
“Inovasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemaju, malah kepada masyarakat dan alam sekitar.”
Dalam perbincangan bersama para pensyarah, Nazir Ariff mencadangkan agar pensyarah lebih peka terhadap perkembangan terkini dalam industri pembinaan.
“Pendidikan yang relevan dengan keperluan industri akan memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran sebenar,” katanya.
HBP-USM terus memainkan peranan penting dalam mendidik generasi profesional masa depan dalam bidang pembinaan.
Kehadiran Nazir Ariff menambah satu lagi dimensi kepada usaha universiti untuk memastikan pelajar menerima pendedahan secara langsung kepada dunia pembinaan sebenar.
“Kerjasama dengan tokoh industri seperti Dato’ Seri Nazir Ariff memberi peluang kepada kami untuk menambah baik kurikulum dan melibatkan pelajar dalam projek penyelidikan yang relevan,” kata Dekan HBP, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin.
“Kunjungan Nazir Ariff ke HBP merupakan satu pencapaian penting bagi USM yang membuktikan bahawa hubungan antara akademia dan industri merupakan kunci kejayaan dalam membangunkan sektor pembinaan yang mampan,” tambah beliau.
Pihak HBP-USM bersyukur apabila Nazir Ariff turut menawarkan bantuan beliau untuk menjadi jambatan penghubung antara akademia dan industri, sekali gus menyediakan peluang yang besar kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam dunia sebenar.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, sejak sekian lama, merupakan penyokong kuat dalam usaha merapatkan jurang antara akademia dan industri.
Visi beliau adalah untuk memastikan USM terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran dunia profesional yang sentiasa berkembang.
“Penglibatan tokoh industri dalam aktiviti akademik adalah elemen penting dalam visi saya,” katanya.
Naib Canselor percaya bahawa kerjasama sebegini memberikan pelajar pendedahan kepada realiti dunia pekerjaan serta pengetahuan praktikal yang memperkayakan pengalaman akademik mereka dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Beliau menegaskan bahawa hubungan kukuh antara akademia dan industri akan membawa kepada pembangunan penyelesaian yang mampan dan inovatif untuk masa hadapan, di samping meletakkan USM sebagai institusi peneraju dalam melahirkan generasi baharu pemimpin industri.
USM, menerusi HBP, akan memainkan peranan penting dalam memastikan pelajarnya bersedia menghadapi cabaran industri pembinaan dan menjadi pemimpin yang berdaya saing dalam sektor ini.
Dekan HBP menambah, “Dengan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi, latihan praktikal yang relevan, dan pendedahan secara langsung kepada perkembangan terkini dalam industri pembinaan, HBP bertekad untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, malah mampu menerajui inovasi dan menyumbang kepada pembangunan mampan.”
“Selain itu, kerjasama erat dengan tokoh industri seperti Dato’ Seri Nazir Ariff akan terus memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaboratif yang memberi manfaat kepada pelajar apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.”
Teks Asal & Foto: Gs. Dr. Mohd Ismail Isa, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 45