USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRK USM PERKASA PELAKSANAAN SULAM MELALUI LAWATAN PENANDA ARAS KE UPSI DAN UTM

IMG 20260615 WA0038

USM PULAU PINANG, 12 Jun 2026 – Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) menerusi siri lawatan penanda aras ke institusi pengajian tinggi yang berpengalaman dalam pelaksanaan pembelajaran berasaskan komuniti dan pengalaman.

Terbaharu, delegasi PRK USM yang diketuai Timbalan Pengarah PRK merangkap Penyelaras SULAM USM, Dr. Noor Alyani Nor Azazi bersama ahli panel penyelaras SULAM dan staf pentadbiran mengadakan lawatan penanda aras ke Unit SULAM, Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

IMG 20260615 WA0040

Delegasi USM disambut oleh Timbalan Pengarah PPA, ChM Dr. Yuhanis Mhd. Bakri, Dr. Hamidah Idris serta barisan pensyarah dan penyelaras SULAM fakulti.

IMG 20260615 WA0042

Sesi tersebut memberi peluang kepada delegasi USM mendapatkan pendedahan berkaitan pelaksanaan program SULAM, pengurusan dan pemantauan projek, amalan terbaik kursus berteraskan SULAM serta inisiatif pertandingan dan pengiktirafan yang dilaksanakan di UPSI.

PRK USM kemudiannya turut mengadakan sesi lawatan penanda aras secara dalam talian bersama Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sesi berkenaan dihoskan oleh Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat bersama barisan pengurusan UGS.

Antara fokus utama perkongsian ialah fungsi dan peranan UGS dalam menyokong pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman (Experiential Learning), pelaksanaan SULAM serta inisiatif International Service Learning yang melibatkan kerjasama dengan komuniti dan rakan strategik di peringkat antarabangsa.

IMG 20260615 WA0039

Lawatan penanda aras ini memberikan input signifikan kepada USM dalam usaha memperkasa pelaksanaan SULAM dan memperkaya pengalaman pembelajaran mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran berimpak tinggi yang berteraskan penglibatan komuniti.

Dr. Noor Alyani berkata, USM mengambil pendekatan proaktif dalam memperluas pelaksanaan SULAM menerusi pemberian Geran SULAM kepada pensyarah kursus.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menggalakkan pembangunan dan pelaksanaan projek SULAM yang lebih berkualiti, berstruktur serta berimpak tinggi kepada komuniti, di samping meningkatkan penyertaan program akademik dalam mengamalkan pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat tanggapan bahawa sesuatu kursus hanya boleh diiktiraf sebagai kursus SULAM sekiranya menerima Geran SULAM USM.

WhatsApp Image 2026 06 15 at 10.35.35

“Hakikatnya, pengiktirafan SULAM adalah berdasarkan pelaksanaan pendekatan SULAM dalam kursus tersebut, termasuk pengintegrasian pembelajaran akademik dengan keperluan komuniti serta penglibatan pelajar dalam menangani isu atau cabaran yang dihadapi komuniti,” katanya.

Beliau berkata, pensyarah digalakkan untuk terus melaksanakan SULAM walaupun tidak menerima Geran SULAM USM, selagi kursus yang ditawarkan memenuhi ciri dan kriteria SULAM yang ditetapkan.

Menurutnya, geran yang disediakan universiti merupakan satu bentuk sokongan strategik bagi membolehkan projek SULAM dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, khususnya dalam menangani keperluan sebenar komuniti serta memperkukuh pengalaman pembelajaran mahasiswa.

PRK USM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPSI dan UTM atas kesudian menerima kunjungan delegasi USM serta berkongsi pengalaman, kepakaran dan amalan terbaik. Diharapkan jalinan kerjasama yang terhasil dapat terus diperkukuh bagi menyokong agenda SULAM serta melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat.

 

Teks: Edzuwyn Fathin Mahyuddin dan Dr. Noor Alyani Nor Azazi / Suntingan: Marziana Mohamed Alias

Foto: PRK, UPSI

  • Created on .
  • Hits: 249

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025