USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGANTARABANGSAAN DPP: AHLI DEWAN DISARAN BERINTERAKSI

dpp4
 
PULAU PINANG, 20 Dis.2013 – Ahli-ahli Dewan Perwakilan Pelajar (MPP) yang bersidang dalam Dewan Perundingan Pelajar (DPP) disaran supaya berinteraksi dengan tokoh-tokoh dan rakan muda seumpamanya dari luar negara untuk menimba lebih banyak pengetahuan.
 

Naib Canselornya, Profesor Dato' Dr.Omar Osman berkata, DPP juga turut diseru untuk membincangkan hal-hal yang bukan hanya dalam konteks universiti sebaliknya juga menjurus kepada isu-isu sejagat.

Katanya, Universiti menjadi medan terbaik untuk mahasiswa mengembangkan ilmu dan dalam masa yang sama turut berpeluang meneroka penghakupayaan yang diberikan pihak Universiti kepada mahasiswa.

`` DPP diharap tidak hanya berfokus kepada mengkritik semata-mata, tetapi juga mengemukakan cadangan-cadangan konstruktif untuk masa hadapan masyarakat, universiti, negara dan dunia.

``DPP jua seharusnya berupaya membantu universiti dalam mengemukakan pandangan baharu dari kaca mata anak muda dalam menangani dan menghadapi masa hadapannya.

Katanya, reaksi dan keterlibatan mahasiswa amat diperlukan, misalnya dalam membangunkan pelbagai inisiatif di bawah Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan termasuk dalam melaksanakan program seperti Kesarjanaan APEX dan sebagainya.

``DPP bukan hanya bertanggungjawab dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan pelajar USM tetapi melangkaui sempadan kampus, negeri dan negara. 

``Ahli DPP juga perlu lebih berfokus dalam berbahas, termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan penghakupayaan dari universiti kepada mahasiswa, MPPUSM mahu pun persatuan pelajar tetapi juga isu-isu sejagat tentang kemanusiaan dan bencana alam,’’ katanya.

dpp3

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Dewan Perundingan Pelajar Siri 1 Sidang akademik 2013/2014 di sini hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr. Adnan Hussein dan TNC Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Muhamad Jantan.

Tambah beliau, DPP diwakili oleh 118 peserta termasuk 68 Ahli Dewan dan 50 pemerhati bukan hanya bertanggungjawab dalam membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan pelajar USM tetapi melangkaui sempadan kampus, negeri dan negara.

``Saya berharap agar DPP terus menjadi medan pertukaran idea dan ahli-ahli akan mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan kematangan dalam perbincangan yang seharusnya berasaskan fakta dan data, bukan emosi semata-mata,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, DPP 2013/2014 akan memperlihatkan pembentangan 12 usul yang meliputi hal ehwal dan kebajikan mahasiswa USM, selain percambahan idea wakil pelajar dalam membantu memperbaik sistem penyampaian dan pembangunan Universiti.  

DPP juga telah melantik Muhamad Haziq sebagai speaker dan Nur Safinah serta Nurul Amni masing-masing sebagai Timbalan Speaker dan Setiausaha Dewan.

dpp2

Antara isu yang dibangkitkan termasuk cadangan meningkatkan infrastruktur dan menambahbaik kemudahan sukan di USM terutamanya sukan futsal, menghadkan penganjuran aktiviti oleh masyarakat luar di dalam Kampus Kesihatan dan meningkatkan kawalan keselamatan ketika penganjuran program berlangsung.

Wakil pelajar turut menggesa pihak Universiti mempergiatkan larangan merokok di seluruh kawasan kampus, mengemukakan cadangan kepada kementerian yang berkaitan berhubung pindaan Perlembagaan dengan meletakkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab rasmi Malaysia dan sebagainya. - Teks/Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1445

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024