USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK UNIVERSITI–INDUSTRI BERSAMA GHEE HIANG SEMPENA PENGIKTIRAFAN MBOR

 

1hghjl

PULAU PINANG, 13 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan industri apabila bersama-sama meraikan kejayaan jenama warisan ikonik Pulau Pinang, Ghee Hiang, yang secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai jenama biskut tradisional Cina tertua di negara ini sempena ulang tahun ke-170 syarikat tersebut.

Majlis pengiktirafan yang berlangsung di St. Giles Wembley Hotel turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob; dan Profesor Madya ChM Dr. Tan Wen Nee, pensyarah dan penyelidik PPPJJ yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan bersama Ghee Hiang

Kehadiran USM mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memacu penyelidikan dan inovasi yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi serta pemeliharaan warisan tempatan.

Abdul Rahman menegaskan bahawa kerjasama strategik antara USM dan Ghee Hiang mencerminkan kepentingan hubungan universiti–industri dalam memperkukuh inovasi produk dan pemindahan teknologi. 

"Melalui penglibatan penyelidik USM, pelbagai inisiatif telah diteroka bagi menyokong pembangunan produk yang lebih berdaya saing tanpa mengabaikan nilai tradisi yang menjadi identiti jenama tersebut.

2gdhgvb

"Pengiktirafan MBOR ini sekali gus membuka ruang lebih luas untuk kolaborasi antara USM dan industri dalam memacu inovasi, kelestarian serta pembangunan ekonomi berasaskan warisan dan budaya tempatan," katanya.  

Tambah Abdul Rahman, "Sinergi ini bukan sahaja meningkatkan daya saing industri, malah menyumbang kepada usaha memelihara warisan makanan tradisional negara melalui pendekatan saintifik dan inovatif."

Majlis turut diserikan dengan kehadiran mantan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying.

Ditubuhkan pada tahun 1856, Ghee Hiang telah berkembang daripada sebuah perusahaan keluarga kepada jenama warisan yang sinonim dengan Pulau Pinang menerusi produk terkenal seperti 'tau sar pneah' (biskut kacang hijau) dan minyak bijan.

Dalam ucapannya, Chow menyifatkan Ghee Hiang sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan budaya negeri yang telah menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang selama beberapa generasi, sambil menekankan bahawa warisan dan inovasi mampu bergerak seiring.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ghee Hiang, Datuk Ch’ng Huck Theng, berkongsi perjalanan transformasi syarikat sepanjang lebih dua dekad lalu dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu, membangunkan konsep peruncitan moden serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuk USM.

Pengiktirafan Malaysia Book of Records ini bukan sahaja mengangkat legasi 170 tahun Ghee Hiang, malah menjadi bukti bahawa jenama warisan mampu terus berkembang di peringkat antarabangsa tanpa mengabaikan nilai tradisi yang menjadi asas kejayaannya.

Teks & Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 264

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025