LAWATAN DUTA PERANCIS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK USM DENGAN INSTITUSI PERANCIS
USM PULAU PINANG, 28 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh komitmen terhadap jaringan kerjasama antarabangsa melalui lawatan rasmi Duta Besar Perancis ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Marc Abensour bersama delegasi beliau baru-baru ini.
Selaku tuan rumah, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab, menyambut ketibaan delegasi Perancis dengan penuh mesra.
Beliau turut menyampaikan ucapan alu-aluan serta membentangkan kekuatan penyelidikan dan pencapaian USM, termasuk kerjasama strategik yang telah terjalin dengan pelbagai institusi di Perancis.
Habibah menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa dengan menyatakan, “Kerjasama amat penting dalam menangani cabaran dan peluang abad ke-21. Kerjasama kami dengan institusi-institusi Perancis telah menghasilkan pencapaian yang memberangsangkan dalam penyelidikan, inovasi, dan pembangunan bakat.”
Beliau menambah, “USM kini mempunyai 17 perjanjian aktif dengan institusi Perancis, termasuk 15 Memorandum Perjanjian (MoA) dan 2 Memorandum Persefahaman (MoU). Kerjasama ini telah membolehkan pelaksanaan penyelidikan bersama, program PhD co-tutelle, penerbitan, kolokium, bengkel, dan pertukaran akademik.”
Menyoroti kerjasama yang telah lama terjalin dengan Université de Lorraine, beliau berkata, “Sejak tahun 1999, kerjasama kami dengan Université de Lorraine amat kukuh dengan menghasilkan 13 graduan PhD co-tutelle, lebih daripada 135 penerbitan bersama, 15 geran penyelidikan bersama, 7 kolokium, dan lebih 40 pertukaran mobiliti. Ini membuktikan keeratan dan kelestarian hubungan akademik kami.”
Abensour diiringi oleh delegasi terkemuka yang terdiri daripada Penasihat Politik, Benoît Hiberty; Penasihat Ekonomi, Michel Ciwinsky; Penasihat Hal Ehwal Kebudayaan dan Kerjasama, Thierry d’Anna; serta Atase Bahasa dan Pendidikan Perancis, Dominique Husken-Ulbrich.
Dalam ucapannya, TYT Marc Abensour menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan dua hala, sekali gus membuka peluang baharu bagi memperluas jaringan ilmu dan inovasi antara Perancis dan Malaysia.
Selain Habibah, delegasi USM turut dianggotai oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan (CIC) serta Penyelaras Pusat USM–Université de Lorraine, Profesor Dr. Mohd Hazwan Hussin; bersama wakil-wakil USM yang lain.
Satu sesi perbincangan meja bulat turut diadakan bagi mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua pihak terhadap kerjasama strategik pada masa hadapan.
Antara hasil utama perbincangan ialah sokongan berterusan terhadap Hubert Curien Franco-Malaysian Partnership (PHC Hibiscus), tertakluk kepada sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta jangkaan pemeteraian perjanjian baharu antara Malaysia dan Perancis.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi keutamaan kepada tiga bidang utama kerjasama, iaitu penyelidikan unsur nadir bumi (REE), teknologi semikonduktor, dan kajian ekosistem marin.
Perbincangan tambahan turut merangkumi sokongan Kedutaan Perancis terhadap pembiayaan program PhD co-tutelle, cadangan penubuhan Konsortium Pendidikan Tinggi Malaysia–Perancis, serta pembangunan peluang latihan industri untuk pelajar USM di syarikat-syarikat Perancis di Perancis sehingga tempoh enam bulan.
USM juga telah menjalinkan kerjasama industri dengan syarikat-syarikat terkemuka Perancis seperti ST Microelectronics dan Stellantis.
Melangkah ke hadapan, kepakaran daripada entiti utama USM termasuk Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (SEEE), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (SMMRE) serta Pusat Pengajian Kaji Samudera dan Pantai (CEMACS) akan memainkan peranan penting dalam memajukan inisiatif-inisiatif tersebut.
Lawatan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan yang berkekalan antara USM dan institusi-institusi Perancis, sekali gus membuka laluan kepada kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pembangunan bakat.
Teks Asal: Profesor Madya Dr. Mohamad Nurul Azmi Mohamad Taib/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 53