USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DARI HUTAN HUJAN TROPIKA KE PERHIMPUNAN AGUNG PBB: TAN SRI DR. ZAKRI ABDUL HAMID PERJUANGKAN SUARA ‘GLOBAL SOUTH’ DALAM SEMINAR PASCA SISWAZAH USM

USM PULAU PINANG, 28 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperluaskan peluang pengajian pascasiswazah melalui kampus cawangannya, USM@KL yang terletak di Kuala Lumpur.

Antara program yang ditawarkan di kampus tersebut ialah Sarjana Amalan Pembangunan Mampan (Master’s in Sustainable Development Practice – MSDP) di bawah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM.

Program MSDP direka untuk menyediakan latihan antara disiplin yang mengintegrasikan sains, dasar, dan amalan dalam menangani cabaran kelestarian global.

Program ini melengkapkan graduan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menangani isu-isu kompleks berkaitan pembangunan, alam sekitar, dan tadbir urus di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti akademik MSDP, USM@KL baru-baru ini menganjurkan seminar yang meneroka perkaitan antara sains dan hubungan antarabangsa.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Suzyrman Sibly, seorang pakar terkemuka dalam bidang alam sekitar dan pembangunan mampan di CGSS, yang membimbing peserta untuk meneliti bagaimana pengetahuan saintifik boleh mempengaruhi dan membentuk kerangka diplomasi serta dasar global.

Seminar yang berlangsung pada 12 April 2026 itu mencerminkan komitmen USM dalam memupuk dialog dan memajukan ilmu berkaitan pembangunan lestari, sekali gus meletakkan USM@KL sebagai hab pendidikan pascasiswazah dan kepimpinan pemikiran dalam bidang tersebut.

Penyampai ucaptama seminar ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, seorang tokoh terkemuka dalam wacana dasar sains global.

Dengan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang dasar sains, termasuk pernah berkhidmat sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Malaysia; Pengerusi pertama ‘Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services’ (IPBES); dan ahli penasihat ‘Scientific Advisory Board’ kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zakri berkongsi pandangan berharga mengenai pembentukan perjanjian global.

Evolusi Diplomasi: Dari Diplomasi Kapal Perang ke Kerjasama Global

Zakri memulakan perbincangan dengan mengaitkan diplomasi sains moden dengan beberapa contoh peristiwa dalam sejarah.

Beliau membandingkan sifat ekspedisi penerokaan China pada abad ke-15 yang bersifat kerjasama dan bukan penaklukan di bawah pimpinan Laksamana Zheng He/Cheng Ho, dengan amalan “gunboat diplomacy” yang digunakan oleh Komodor Amerika Syarikat, Matthew Perry, yang memaksa Jepun membuka sempadannya pada abad ke-19.

Namun begitu, politik kontemporari memerlukan pendekatan yang sama sekali berbeza.

Menurut Tan Sri Zakri, diplomasi sains telah membuktikan keberkesanannya antara dua negara yang saling bermusuhan semasa era Perang Dingin.

Walaupun kedua-dua negara tersebut berada di ambang kemusnahan nuklear, para saintis dari kedua-dua pihak terus terlibat dalam dialog yang intensif.

Diplomasi tidak rasmi atau “Track II diplomacy” inilah yang membantu mengelakkan bencana besar.

Semangat kerjasama tersebut kemudiannya diterjemahkan kepada tiga tonggak utama diplomasi moden:

  1. Science in Diplomacy (penggunaan data saintifik dalam penggubalan dasar),
  2. Diplomacy for Science (rundingan perjanjian yang membolehkan pembiayaan penyelidikan saintifik antarabangsa), dan
  3. Science for Diplomacy (penyelidikan yang membawa kepada kerjasama politik antara negara yang bermusuhan).

Dengan pakar antarabangsa memberi amaran bahawa sehingga satu juta spesies berdepan risiko kepupusan, keperluan terhadap kerjasama yang berkesan seperti ini tidak boleh dipandang ringan.

Pertembungan Geopolitik: ‘Global North vs. Global South’

Politik sering kali menjadi faktor yang mengganggu perkembangan sains, khususnya apabila pertimbangan geopolitik mencetuskan pertembungan kepentingan antara negara maju di ‘Global North’ dan negara membangun di ‘Global South.’

Pertembungan ini jelas terserlah melalui Convention on Biological Diversity (CBD) yang lahir daripada Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992.

Konvensyen ini digariskan atas keseimbangan tiga objektif utama: 1. Pemuliharaan biodiversiti; 2. Penggunaan lestari sumber semula jadi, dan 3. Perkongsian faedah secara saksama hasil daripada penggunaan sumber genetik.

Zakri menjelaskan bahawa ‘Global North’ sangat menitikberatkan aspek “pemuliharaan”, sehingga banyak negara membangun didesak untuk memelihara hutan hujan tropika mereka sebagai “paru-paru dunia” bagi menangani kesan perubahan iklim yang berpunca daripada pelepasan karbon negara-negara Barat sepanjang sejarah.

Sebaliknya, ‘Global South’ menegaskan prinsip “penggunaan lestari” sumber biodiversiti demi kelangsungan ekonomi mereka.

Beliau merujuk kepada sejarah Malaysia sebagai bukti.

Katanya, “Malaysia pernah mengalami kadar kemiskinan yang sangat tinggi selepas merdeka, iaitu sekitar 47 peratus. Namun melalui pembangunan sektor pertanian, khususnya penanaman kelapa sawit, kadar tersebut berjaya dikurangkan kepada kurang daripada 10 peratus.”

“Ahli ekonomi pembangunan, Profesor Jeffrey Sachs, yang mengiktiraf kepentingan sektor ini kepada Malaysia, menyifatkannya sebagai ‘penyelamat’ rakyat Malaysia.

“Kemunculan sikap hipokrit Barat dalam mengkritik negara-negara membangun amat difahami dalam kalangan negara-negara sedang membangun,” menurutnya lagi.

Deklarasi Langkawi 1989 menjadi titik perubahan apabila negara-negara membangun bersatu dalam menegaskan bahawa pemuliharaan alam sekitar tidak seharusnya dijadikan alat untuk menghalang pembangunan mereka.

Bayang-Bayang Biopirasi dan Jurang Teknologi

Sikap berhati-hati ‘Global South’ berpunca daripada pengalaman sejarah berkaitan “biopirasi”, apabila kuasa kolonial memperoleh manfaat daripada sumber biologi tanpa sebarang pampasan kepada negara asal.

Menurut Zakri, tulang belakang ekonomi British Malaya suatu ketika dahulu ialah getah asli yang berasal daripada benih yang dibawa keluar oleh Empayar British dari Amazon Brazil. Begitu juga dengan kelapa sawit yang berasal dari Afrika Barat sebelum dibawa ke Asia Tenggara.

Hari ini, ketidakseimbangan tersebut masih berterusan melalui dikotomi struktur antara negara tropika yang “kaya sumber genetik” dan negara maju yang “kaya teknologi”.

Dalam pembentangannya, Zakri turut menyentuh kerjasama berjaya antara penyelidik Malaysia dan Harvard University yang mendapati ekstrak daripada hutan hujan Malaysia mempunyai potensi dalam rawatan leukemia.

Namun tanpa kemudahan mencukupi untuk pengeluaran ubat dan ujian klinikal di dalam negara, manfaat kewangan daripada penemuan tersebut tidak dapat dinikmati sepenuhnya oleh Malaysia.

Contoh-contoh ini menunjukkan betapa pentingnya pelaksanaan perjanjian ‘Access and Benefit-Sharing’ (ABS) seperti Protokol Nagoya yang mewajibkan pemindahan teknologi dan pemilikan bersama sekiranya sumber genetik digunakan.

Namun tanpa tenaga diplomatik yang berpendidikan dan celik sains, negara-negara membangun akan sentiasa ketinggalan berbanding delegasi Barat yang lebih berpengalaman.

Memperkasa Suara Masyarakat Peribumi dan Peranan NGO

Proses tadbir urus global masa kini juga semakin berusaha mengintegrasikan pendekatan epistemologi yang berbeza. Pendekatan saintifik Barat kini mula mengiktiraf pengetahuan ekologi tradisional dan tempatan sebagai satu bentuk ilmu yang penting.

Pengetahuan ekologi tradisional yang diwariskan turun-temurun oleh komuniti seperti Orang Asli dan Penan memainkan peranan penting dalam pengurusan ekosistem hutan yang kompleks.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memainkan peranan penting dalam memberikan suara kepada komuniti ‘Global South’.

Zakri menonjolkan Third World Network (TWN), sebuah NGO antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia, serta penasihat undang-undangnya yang terkenal, Meena Raman.

Tidak seperti kerajaan yang terikat dengan birokrasi, NGO mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pendapat mereka.

Zakri menyifatkan NGO sebagai “pembangkang setia” yang menyediakan kepakaran perundangan kepada negara-negara membangun dalam sidang kemuncak PBB bagi memastikan mereka tidak menerima perjanjian yang merugikan.

Mengatasi Silo dan Membina Keupayaan Institusi

Satu lagi kelemahan ‘Global South’ ialah kekurangan kapasiti institusi.

Apabila delegasi Amerika Syarikat menghadiri persidangan PBB, mereka sering diiringi puluhan peguam pakar dalam pelbagai bidang serta pakar klimatologi.

Sebaliknya, negara-negara membangun lazimnya hanya menghantar dua atau tiga wakil kerana kekangan sumber.

Di peringkat domestik pula, kerajaan berdepan dengan fenomena yang dikenali sebagai “silo effect”, apabila kementerian alam sekitar dan ekonomi mempertahankan bidang kuasa masing-masing.

Usaha mencapai konsensus memerlukan komitmen politik yang besar, termasuk memanfaatkan pengaruh organisasi serantau seperti ASEAN dan G77 plus China.

Walaupun data dan penyelidikan tersedia, sains tetap mempunyai batasannya dalam situasi kecemasan yang sarat dengan pertimbangan politik.

Sebagai contoh, Zakri merujuk kepada isu jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara dan pelepasan air sisa radioaktif ke laut selepas insiden di Fukushima, Jepun.

Dalam kedua-dua kes tersebut, bukti saintifik sering diketepikan, menunjukkan bahawa sains yang terbaik sekalipun memerlukan sokongan diplomasi yang berkesan.

Melangkaui 2030: Haluan Masa Hadapan

Dengan tarikh sasaran pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menjelang tahun 2030 semakin hampir, para sarjana bersetuju bahawa pencapaian kesemua matlamat tersebut merupakan cabaran yang besar berikutan ketidaksamaan global dan konflik yang berterusan.

Kerangka pasca-2030 seperti “SDG Beyond 2030” yang dipelopori oleh IISDS dan Keio University perlu memberi penekanan kepada pendekatan praktikal bermula dengan isu-isu asas seperti pembasmian kemiskinan dan pendidikan untuk semua.

Selain itu, dalam keadaan kadar kelahiran global yang semakin menurun, tumpuan tidak lagi harus diberikan kepada kawalan pertumbuhan populasi, sebaliknya kepada peningkatan kualiti modal insan.

Untuk terus maju, ‘Global South’ perlu merapatkan jurang antara akademia dan penggubalan dasar. Saintis tidak lagi boleh kekal terasing di makmal hanya untuk menghasilkan artikel jurnal semata-mata.

Atas sebab itulah UCSI University menubuhkan International Institute for Science Diplomacy and Sustainability (IISDS). Zakri telah dilantik sebagai Pengarah Pengasas institusi tersebut yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Luar ketika itu, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

IISDS merupakan institusi diplomasi sains pertama di ‘Global South’ yang bertujuan melatih diplomat muda dan saintis ASEAN dalam rundingan isu-isu alam sekitar global.

Diplomasi sains membuka ruang kepada negara-negara membangun untuk keluar daripada peranan tradisional sebagai sekadar pembekal sumber, dan sebaliknya tampil sebagai peneraju dalam membentuk sistem global yang lebih mampan dari segi alam sekitar dan seimbang dari sudut ekonomi.

Teks Asal: Profesor Madya Dr. Japareng Lalung, Pusat Kepakaran Serantau (RCE) Pulau Pinang, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 62

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025