PELAJAR HBP-USM MENYERLAH DI SINGAPURA, RAIH ANUGERAH ‘JUDGES' PICK AWARD’ DALAM ‘YOUNG MAYOR COMPETITION 2026’
USM PULAU PINANG, 27 April 2026 – Sekumpulan lima pelajar daripada program Perancangan Bandar dan Wilayah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM), telah mencatat kejayaan membanggakan dalam ‘Young Mayor Competition 2026,’ yang berlangsung di Singapore National Library, Singapura baru-baru ini.
Pasukan yang mewakili HBP-USM itu terdiri daripada Mohammad Nazmi Naim Mohd Nazri, Muhammad Asyraf Mohd Kahar, Nursyaleena Sahedan, Nurul Atiqah Nor Rafizan, dan Raza Zikri Rohizan.
Mereka dibimbing oleh dua orang pensyarah, iaitu Dr. Shida Irwana Omar dan Profesor Madya Dr. Suraiyati Rahman daripada program Perancangan Bandar dan Wilayah, HBP, USM.
Pertandingan yang berlangsung dari 10 hingga 12 April 2026 dan dianjurkan oleh Activistar itu menghimpunkan pemimpin muda dari seluruh Asia Tenggara dengan tumpuan kepada perancangan bandar dan kelestarian.
Kajian kes pada tahun ini berfokus kepada “Planning a Clean and Green City” di Dili, Timor-Leste, sebuah bandar yang mempunyai cabaran pembangunan bandar dan peluang pembangunan yang unik, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11: Bandar dan Komuniti Mampan.
Para peserta ditugaskan untuk mencadangkan penyelesaian inovatif terhadap isu-isu bandar seperti perumahan, pengangkutan, pengurusan sisa, dan pertumbuhan ekonomi, dengan mengintegrasikan amalan-amalan lestari.
Muhammad Asyraf turut dianugerahkan ‘Judges' Pick Award 2026’. Anugerah tersebut disampaikan oleh Duta Besar Timor-Leste ke Singapura, Tuan Yang Terutama Alexandre Tilman.
Kemahiran pembentangan Muhammad Asyraf yang luar biasa serta pendekatan inovatif beliau terhadap pembangunan bandar mampan telah melayakkan beliau menerima pengiktirafan berprestij tersebut.
Pembentangan beliau memberi tumpuan kepada keseimbangan antara pertumbuhan bandar yang pesat dan pemeliharaan alam sekitar, dengan mencadangkan penyelesaian seperti integrasi kawasan hijau, penambahbaikan sistem pengangkutan awam, dan galakan amalan pembinaan mesra alam.
Pendekatan yang berasaskan penyelidikan dan berpandangan jauh itu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada para juri.
Mengulas kejayaan tersebut, Dekan HBP, Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin, melahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap pencapaian pasukan berkenaan.
“Kami amat berbangga dengan Muhammad Asyraf dan pasukannya atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan. Kemenangan ini bukan sahaja menyerlahkan bakat individu mereka, malah membuktikan ketinggian kualiti pelajar yang kami lahirkan di HBP-USM.
“Ia juga membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan kami yang mengintegrasikan kepakaran teknikal dengan kreativiti, kepimpinan, dan kemahiran penyelesaian masalah.
“Pelajar kami sentiasa digalakkan untuk berfikir secara kritis, melangkaui batas kebiasaan dan mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam cabaran dunia sebenar, yang sememangnya menjadi tuntutan utama pertandingan ini. Kejayaan mereka adalah bukti kepada kerja keras, dedikasi, dan pemikiran inovatif yang diterapkan sepanjang tempoh pengajian mereka,” tambah Md Azree.
Beliau juga berkata, “Kami yakin bahawa pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada warga pusat pengajian dan pihak lain untuk terus meletakkan sasaran yang tinggi serta memberikan sumbangan bermakna dalam bidang perancangan bandar dan kelestarian.”
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut memuji pencapaian tersebut dan menekankan kepentingan pendedahan antarabangsa kepada para pelajar.
Menurut beliau, “Pengalaman antarabangsa memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar bersedia menghadapi dunia dengan perspektif global. Peluang seperti ini membolehkan pelajar berhadapan dengan cabaran sebenar, memupuk inovasi, dan memperluaskan perspektif mereka, yang amat penting untuk melahirkan pemimpin masa depan dalam bidang perancangan bandar dan kelestarian.
“Pendedahan seperti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran akademik dan profesional mereka, malah membentuk ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan untuk menangani isu-isu mendesak berkaitan perancangan bandar dan kelestarian.
“Pencapaian ini bukan sahaja meningkatkan profil USM, malah memperkukuhkan reputasinya di peringkat global dalam bidang perancangan bandar dan kelestarian. Selain itu, pengiktirafan ini membuka peluang baharu untuk kerjasama rentas sempadan dan pelbagai peluang lain di Asia Tenggara.
“Kejayaan pasukan ini menjadi bukti kepada tahap pendidikan dan bimbingan yang tinggi di HBP-USM, sekali gus mengukuhkan lagi reputasi universiti sebagai peneraju dalam pendidikan perancangan bandar dan kelestarian,” katanya.
Teks Asal & Foto: Dr. Shida Irwana Omar, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 54