USM LANCAR BULAN KELESTARIAN 2026 SEBAGAI PEMANGKIN PEMBUDAYAAN KELESTARIAN KAMPUS

USM PULAU PINANG, 8 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan Bulan Kelestarian USM 2026 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Utama Desasiswa (DUD RST), Kampus Induk USM, dengan penyertaan kira-kira 200 orang pelajar dan staf universiti.
Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei; Pengarah Pejabat Kelestarian Universiti (PKU), Dr. Normaliza Abdul Manaf; dan Penyelaras Sekretariat Kampus Sejahtera, Ahmad Wafi Shahedan.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata budaya kelestarian perlu diterjemahkan melalui tindakan harian dan penglibatan kolektif seluruh warga universiti.

“Kelestarian bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama. Melalui Bulan Kelestarian ini, USM terus memperkukuh peranan sebagai institusi yang memimpin perubahan ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan,” katanya.
Penganjuran Bulan Kelestarian USM 2026 selaras dengan komitmen universiti dalam menyokong 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagi edisi kali ini, dua kempen utama diperkenalkan, iaitu “Bring Your Own Bag/Bottle/Bekas” (BYOB) dan “No Vape, No Tobacco” sebagai usaha memperkukuh amalan hidup lestari, sihat, dan bertanggungjawab dalam kalangan warga kampus.
Bersempena dengan majlis peluncuran tersebut, turut diadakan Sustainable Future Initiative Exhibition (SUFFIEX) 4.0, sebuah platform yang menghimpunkan pelbagai projek, inisiatif, dan amalan terbaik berkaitan pembangunan mampan yang diterajui oleh persatuan-persatuan pelajar USM.

Program ini bukan sahaja menjadi medium perkongsian ilmu dan pengalaman, malah berperanan meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam agenda kelestarian universiti.
Sepanjang bulan Jun, sebanyak 70 program dan aktiviti akan dilaksanakan melibatkan penyertaan staf dan pelajar bagi memperkukuh budaya kelestarian dalam ekosistem kampus.
Antara aktiviti yang bakal berlangsung ialah Pertandingan Sudut Kelestarian, Pertandingan Sisa Jadi Karya (EcoArt), Plogging, Trash Free Hill, Gotong-Royong Perdana, Ceramah berkaitan Kelestarian, serta pelbagai program lain yang memupuk kesedaran, memperkukuh pendidikan, dan menggalakkan tindakan kolektif ke arah kelestarian.
Penganjuran Bulan Kelestarian USM 2026 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam membudayakan kelestarian sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan ekosistem kampus.
Inisiatif ini turut memperkukuh peranan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang memimpin agenda pembangunan mampan melalui pendidikan, penyelidikan, inovasi, dan penglibatan masyarakat.
Selaras dengan aspirasi "Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok", USM terus komited untuk melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya tahan serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, kemampanan planet, dan pembangunan masa hadapan yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan lestari di peringkat nasional dan global.
Teks & Foto: Pejabat Kelestarian Universiti, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), USM
- Created on .
- Hits: 113