60 SYARIKAT INDUSTRI DAN 62 GERAI JUALAN MAKANAN MERIAHKAN 3KPP26 USM

USM PULAU PINANG, 12 Jun 2026 – Sejumlah 60 syarikat industri terkemuka dan 62 gerai jualan makanan berkonsepkan 'grab-n-go' memeriahkan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2026 (3KPP26) – Koridor Niaga dan Ekspo Kerjaya & Pendidikan (EKSPEN) yang berlangsung di Dewan Utama pelajar (DUP) dan Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Program tahunan anjuran Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM itu menjadi platform penting dalam membantu pelajar dan graduan merancang kerjaya serta mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan dan pendidikan selaras dengan kehendak pasaran semasa.
Dalam ucapan perasmian, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, graduan masa kini perlu dilengkapi dengan kemahiran serta bakat yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri yang semakin kompetitif.
Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan kemahiran insaniah, ilmu teknikal serta pembinaan jaringan sosial yang luas bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Saya berharap peluang yang disediakan menerusi Koridor Niaga dan Ekspo Kerjaya dan Pendidikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar, selain membolehkan syarikat yang mengambil bahagian mendapatkan bakat terbaik bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masing-masing,” jelas beliau.
Tambah beliau, selain membuka ruang interaksi antara industri dan graduan, karnival tersebut turut menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui penyertaan usahawan tempatan dan pengusaha trak makanan yang mengamalkan model perniagaan lestari.

Orang ramai, khususnya para pelajar, graduan dan individu yang sedang mencari peluang pekerjaan dijemput hadir memeriahkan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2026 (3KPP26) yang berlangsung pada hari Jumaat sehingga Ahad ini dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Manakala tapak jualan makanan di Padang Kawad pula akan beroperasi sehingga jam 10.00 malam.

Pelbagai peluang pekerjaan, pameran pendidikan, aktiviti keusahawanan serta jualan menarik menanti pengunjung, sekali gus menjadikan karnival ini destinasi terbaik untuk membina masa depan dan memperluaskan jaringan strategik antara USM dengan industri-industri terlibat.
Antaranya, program MyFutureJobs ROVER yang menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan kerjaya, sesi semakan resume (Resume Review), sesi temu duga bersama majikan, sesi Career Talk serta slot ceramah berteraskan keusahawanan.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Negeri Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, Ong Ching Shi; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Azizah Omar; Ketua Pejabat PERNAS Koridor Utara, Safiyah Peer Mohamed dan Pengarah Projek Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2026, Mahatdir Shukur.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq
- Created on .
- Hits: 333