USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERSELAMAT BUKAN PENGAKHIRAN: USM INGATKAN RISIKO PEMAKANAN SEMULA YANG BOLEH MENGANCAM NYAWA

WhatsApp Image 2026 06 11 at 19.08.32

KOTA BHARU, 11 Jun 2026 – Penemuan seorang pendaki yang dilaporkan sesat selama 15 hari di dalam hutan baru-baru ini mengundang rasa syukur dalam kalangan masyarakat. Namun, di sebalik kegembiraan itu, pakar kesihatan mengingatkan bahawa proses pemulihan selepas diselamatkan memerlukan perhatian yang sama penting bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

Pensyarah Bidang Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Puan Nur-Fazimah Sahran berkata, individu yang mengalami kebuluran atau kekurangan zat makanan untuk tempoh yang lama berisiko mengalami Sindrom Pemakanan Semula (Refeeding Syndrome) apabila makanan diberikan semula secara terlalu cepat.

Menurut beliau, apabila seseorang tidak mendapat makanan yang mencukupi selama beberapa hari atau minggu, tubuh akan menyesuaikan diri dengan keadaan kekurangan tenaga. Pada peringkat awal, badan menggunakan simpanan glikogen di hati dan otot sebelum beralih kepada lemak sebagai sumber tenaga utama. Apabila keadaan berlarutan, protein daripada otot turut digunakan bagi memastikan organ-organ penting terus berfungsi.

Keadaan tersebut menyebabkan penurunan berat badan, kelemahan otot, kemerosotan daya tahan tubuh serta boleh menjejaskan fungsi organ sekiranya berlarutan.

Mengulas mengenai kemungkinan mangsa hanya bergantung kepada sumber makanan seperti daun, petai dan cendawan sepanjang berada di dalam hutan, Nur-Fazimah menjelaskan bahawa makanan tersebut mungkin dapat membekalkan sedikit tenaga, vitamin, mineral dan serat, namun lazimnya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kalori dan protein tubuh bagi tempoh yang panjang.

“Dalam situasi kecemasan, apa sahaja sumber makanan yang selamat boleh membantu meningkatkan peluang untuk terus hidup. Namun, ia masih tidak mencukupi untuk mengekalkan fungsi tubuh secara optimum dalam jangka masa yang lama,” jelas beliau.

Beliau berkata, ramai beranggapan bahawa mangsa yang mengalami kebuluran perlu diberikan makanan sebanyak mungkin sebaik sahaja ditemui. Hakikatnya, tindakan tersebut boleh membawa risiko sekiranya tidak dilakukan secara terkawal.

“Refeeding Syndrome ialah keadaan berbahaya yang boleh berlaku apabila seseorang yang mengalami kebuluran menerima makanan semula secara terlalu cepat, khususnya makanan yang tinggi kandungan karbohidrat,” katanya.

Menurut beliau, ketika berlapar, tubuh berada dalam keadaan metabolisme yang rendah. Apabila makanan diperkenalkan semula, paras hormon insulin meningkat dengan cepat bagi membantu glukosa memasuki sel untuk menghasilkan tenaga.

Pada masa yang sama, mineral penting seperti fosfat, kalium dan magnesium turut bergerak masuk ke dalam sel sehingga menyebabkan paras mineral tersebut dalam darah menurun secara mendadak.

“Keadaan ini boleh mencetuskan pelbagai komplikasi serius termasuk gangguan irama jantung, sesak nafas, kelemahan otot yang teruk, sawan dan dalam kes tertentu boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kekurangan vitamin B1 atau tiamin yang sering berlaku dalam keadaan kebuluran boleh menjejaskan keupayaan tubuh menghasilkan tenaga walaupun pengambilan makanan telah ditingkatkan.

Mengulas mengenai kes pendaki yang sesat selama 15 hari, Nur-Fazimah berkata individu tersebut sememangnya mempunyai risiko untuk mengalami Sindrom Pemakanan Semula, namun tahap risiko sebenar bergantung kepada beberapa faktor seperti jumlah makanan yang diambil sepanjang tempoh kehilangan, tahap kehilangan berat badan, indeks jisim badan (BMI), keadaan kesihatan asal dan keputusan ujian darah.

“Sebab itu mangsa biasanya akan dipantau di hospital selepas diselamatkan walaupun kelihatan stabil atau masih mampu berjalan dan bercakap,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan pemakanan yang selamat perlu dilakukan secara perlahan dan berperingkat. Jumlah kalori perlu ditingkatkan sedikit demi sedikit sambil memantau keadaan klinikal pesakit serta paras elektrolit dalam darah.

Sekiranya pesakit mampu makan secara oral, makanan yang mudah dihadam seperti bubur boleh diberikan terlebih dahulu sebelum beralih kepada diet biasa mengikut tahap toleransi. Dalam keadaan tertentu, sokongan pemakanan menggunakan formula khas atau pemakanan melalui tiub mungkin diperlukan.

“Pemantauan paras fosfat, kalium, magnesium, vitamin B1, hemoglobin dan gula dalam darah sangat penting bagi mengesan sebarang perubahan yang boleh menyebabkan komplikasi serius,” tambahnya lagi.  

Beliau turut mengingatkan bahawa antara kesilapan yang sering dilakukan oleh orang awam ialah memberikan makanan dalam kuantiti terlalu banyak, memberi minuman manis secara berlebihan serta menganggap mangsa yang masih mampu bergerak tidak memerlukan pemeriksaan perubatan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasukan penyelamat dan masyarakat supaya mendapatkan penilaian kesihatan secepat mungkin bagi individu yang ditemui selepas mengalami kebuluran atau kehilangan untuk tempoh yang panjang.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Professor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, universiti bukan sahaja berperanan menjana ilmu melalui penyelidikan, malah memastikan hasil penyelidikan tersebut dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Sesebuah misi menyelamat tidak berakhir apabila mangsa ditemui. Dalam situasi tertentu, fasa pemulihan selepas penyelamatan adalah sama penting kerana tindakan yang diambil pada peringkat ini boleh memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesihatan mangsa.

“Peranan universiti adalah membantu masyarakat memahami isu-isu kesihatan berdasarkan bukti saintifik supaya keputusan yang dibuat lebih tepat dan selamat,” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa USM akan terus memperkukuh penyelidikan, pendidikan dan perkongsian kepakaran dalam bidang kesihatan bagi meningkatkan literasi kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

Bidang Dietetik di PPSK USM memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang berkemahiran dalam pengurusan pemakanan klinikal termasuk pengendalian kes kebuluran, trauma, rawatan kritikal dan Sindrom Pemakanan Semula.

“Bahaya bukan sahaja berlaku ketika seseorang tidak mendapat makanan untuk tempoh yang lama, tetapi juga apabila proses pemulihan dilakukan tanpa pemantauan yang sewajarnya. Menyelamatkan mangsa adalah langkah pertama, namun pemulihan yang selamat dan terancang merupakan kunci untuk memastikan mereka benar-benar kembali sihat,” ujar Nur-Fazimah.

WhatsApp Image 2026 06 11 at 19.08.32 1 WhatsApp Image 2026 06 11 at 19.08.33

WhatsApp Image 2026 06 11 at 19.08.33 1

WhatsApp Image 2026 06 11 at 19.08.51

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM/ Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Ismail, Konsultan Editorial Kanan@MPRC, USM

  • Created on .
  • Hits: 394

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025