KOLABORASI ANALIS–USM PERKUKUH MINAT STEM MELALUI PROGRAM SUSPECTROCIETY
PULAU PINANG, 25 April 2026 – Seramai 40 pelajar Tingkatan Tiga dari SMK Dato’ Haji Hassan Noh, Penaga telah menyertai program 'SuSpectroCiety: STEM Empowerment through Spectroscopy for a Sustainable Society' yang berlangsung pada hari ini di sekolah tersebut.
Inisiatif tersebut dianjurkan bersama oleh The Malaysian Analytical Sciences Society (ANALIS) dan Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), dengan matlamat meningkatkan penglibatan pelajar dalam STEM melalui pembelajaran berasaskan pengalaman dalam bidang sains analisis.
Program tersebut dibangunkan sebagai respons terhadap penurunan minat bagi mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan pelajar di sekolah luar bandar.
Program berkenaan memperkenalkan pembelajaran berasaskan spektroskopi kepada peserta melalui tiga modul interaktif, iaitu membina spektrum cahaya menggunakan spektroskop DIY, menentukan kepekatan pewarna dalam minuman komersial menggunakan spektrofotometer tampak, serta meneroka sifat pendarfluor dalam sampel makanan dan tumbuhan terpilih.
Berbanding memberi tumpuan kepada pemahaman teori secara hafalan, aktiviti yang dijalankan menggalakkan pelajar memerhati, menganalisis, dan mengaitkan prinsip saintifik dengan fenomena dunia sebenar.
Para peserta dicabar untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah eksperimen, dan menghargai bagaimana sains analisis menyumbang kepada penyelesaian isu berkaitan kelestarian.
Pengalaman pembelajaran ini turut diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 7 (Tenaga Mampu Milik dan Bersih), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), dan SDG 15 (Kehidupan di Darat), yang menekankan kepentingan sains dalam mempromosikan pembangunan mampan.
Penyelaras program, Dr. Norazzizi Nordin, menegaskan bahawa program SuSpectroCiety direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik darjah dengan pengalaman saintifik sebenar.
“Kami mahu pelajar menyedari bahawa sains bukan sekadar terhad kepada buku teks, tetapi sesuatu yang boleh mereka lihat, aplikasikan, dan alami dalam kehidupan seharian,” katanya.
Program tersebut turut melibatkan 10 pelajar prasiswazah dan lima pelajar pascasiswazah dari Pusat Pengajian Sains Kimia, USM yang berperanan sebagai fasilitator sepanjang sesi berlangsung.
Mereka membimbing kerja-kerja eksperimen, membantu dalam pentafsiran data serta berkongsi pengetahuan mengenai spektroskopi dan teknik analisis.
Penglibatan ini turut memberikan pendedahan yang berharga kepada pelajar universiti dalam aspek komunikasi, kepimpinan, dan penyebaran pengetahuan sains kepada masyarakat.
Pengetua SMK Dato’ Haji Hassan Noh, Zaidi Hamzah, mengalu-alukan inisiatif tersebut dan menyatakan penghargaan terhadap impak positifnya dalam meningkatkan motivasi pelajar serta kesedaran terhadap STEM.
Beliau berkata, “program seperti ini amat penting dalam memperluaskan pemahaman pelajar mengenai laluan akademik dan kerjaya masa depan dalam bidang sains dan teknologi.”
Selain aktiviti amali, para pelajar turut diperkenalkan kepada The Malaysian Analytical Sciences Society (ANALIS) dan peranannya dalam memajukan sains analisis di Malaysia.
Sesi tersebut turut mengetengahkan aplikasi sains analisis dalam pelbagai bidang termasuk penjagaan kesihatan, pemantauan alam sekitar, keselamatan makanan, dan analisis industri.
Secara keseluruhannya, program tersebut dijangka dapat menyemarakkan minat yang lebih mendalam terhadap pendidikan STEM, di samping memupuk pemikiran analitis, rasa ingin tahu saintifik, dan kesedaran mengenai kelestarian dalam kalangan generasi pelajar masa hadapan.
Teks Asal & Foto: Dr. Norazzizi Nordin, Pusat Pengajian Sains Kimia, USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 47