CEDEC USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA PENGARAH JTM: PERKUKUH KERJASAMA BIDANG REKA BENTUK LITAR BERSEPADU (IC) DIGITAL DAN ANALOG

USM PULAU PINANG, 11 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Datuk Rospiagos Taha bersama delegasi JTM dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), USM.

Kunjungan pada 8 Jun 2026 tersebut bertujuan untuk mengukuhkan hubungan strategik antara USM dan JTM serta meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, khususnya dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) digital dan analog, mikroelektronik, dan industri semikonduktor.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri teknologi tinggi negara, termasuk persediaan ke arah penubuhan Akademi Semikonduktor (ASK).

CEDEC USM telah dikenal pasti sebagai rakan strategik bersama industri bagi pembangunan program latihan kepada program ASK dalam melatih ‘sub specialist mask layout’ bagi keperluan industri reka bentuk litar bersepadu.
Melalui sesi tersebut, kedua-dua pihak menyasarkan terjalinnya kerjasama yang mampan dalam aspek latihan dan pembangunan kompetensi tenaga pengajar JTM, pemindahan ilmu dan kepakaran, serta pembangunan program latihan yang selari dengan kehendak industri semikonduktor.

Kerjasama strategik tersebut diharap dapat menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan yang berdaya saing serta menyokong aspirasi negara untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor dan teknologi maju.
Teks: Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), USM/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 188