USAHA SUNTINGAN BERKEKALAN: HARI BUKU SEDUNIA 2026 UTAMAKAN SUMBER TERBUKTI BERBANDING HASIL TIDAK PASTI
USM PULAU PINANG, 23 April 2026 – Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026 pada hari ini muncul pada satu detik intelektual yang kompleks dalam sejarah, ketika perkembangan kecerdasan buatan (AI), sistem maklumat berasaskan algoritma, dan penjanaan kandungan pantas semakin mencabar budaya tradisional pembacaan, kepengarangan, dan pengesahan akademik.
Diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 1995, sambutan tahunan ini tidak pernah bertujuan semata-mata sebagai perayaan kesusasteraan, sebaliknya sebagai satu inisiatif ketamadunan untuk memelihara budaya intelektual, mempertahankan integriti hak cipta, dan memperkukuh masyarakat melalui amalan membaca yang berterusan.
Dalam wacana pendidikan tinggi kontemporari, sambutan ini kini membawa makna yang lebih luas apabila universiti di seluruh dunia berdepan dengan apa yang digambarkan oleh ahli teori pendidikan sebagai “paradoks limpahan maklumat – defisit pengetahuan”, iaitu keadaan apabila akses kepada maklumat berkembang secara eksponen, namun pada masa yang sama tahap kefahaman mendalam, ketahanan membaca secara analitis, dan keupayaan menilai sumber semakin merosot.
Pelbagai laporan antarabangsa berkaitan literasi dan pemantauan pendidikan berulang kali menunjukkan bahawa generasi yang lahir dalam era digital menggunakan jumlah maklumat yang jauh lebih besar dan diasing-asingkan, namun memperlihatkan penglibatan yang semakin berkurangan terhadap pembacaan ilmiah yang panjang dan penyelidikan berasaskan bukti.
Dalam konteks ini, Ketua Pustakawan Universiti Sains Malaysia (USM), Arinawati Ayob berkata, ini adalah cerminan perspektif institusi yang sangat kritikal dalam melihat masa depan literasi akademik dalam era AI.
Walaupun beliau mengakui realiti semasa bahawa ‘pelbagai bentuk maklumat kini boleh diakses melalui internet, khususnya melalui kepelbagaian aplikasi digital yang semakin berkembang,’ serta keupayaan kecerdasan buatan yang semakin meningkat dalam menjana kandungan termasuk bahan akademik, beliau menegaskan bahawa pelajar universiti perlu terus bergantung kepada ‘kandungan rasmi yang diperolehi secara langganan oleh Perpustakaan’ dalam menyokong tanggungjawab akademik dan pembangunan ilmiah mereka.
Kenyataan beliau secara tersirat menyentuh salah satu kebimbangan epistemologi paling mendesak dalam dunia akademik moden, iaitu kecenderungan menggantikan sumber ilmiah yang disahkan dengan kandungan sintetik yang lebih mudah diperoleh.
Seperti yang semakin dihujahkan oleh para penganalisis pendidikan, AI generatif mungkin dapat mempercepatkan akses kepada maklumat, namun ia tidak mampu menggantikan secara bebas ketelitian metodologi, kredibiliti semakan rakan sebaya (peer review), kedalaman tafsiran, dan autoriti arkib yang terkandung dalam sumber akademik yang telah dipilih dan disusun.
Arinawati turut menegaskan bahawa khazanah ilmu yang bernilai masih tersimpan ‘di dalam buku-buku yang terdapat di rak perpustakaan dan koleksi buku elektronik yang dilanggan oleh Perpustakaan,’ sekali gus mengukuhkan kerelevanan perpustakaan sebagai institusi pemeliharaan intelektual dan bukan sekadar ruang pembelajaran fizikal.
Pemerhatian beliau amat bertepatan dengan kebimbangan semasa global mengenai kemerosotan budaya pembacaan mendalam, apabila pelajar semakin mengutamakan hasil ringkasan berbanding penglibatan berterusan dengan teks ilmiah asal.
Beliau juga menyatakan bahawa universiti terus melaburkan jutaan ringgit setiap tahun bagi memastikan akses kepada bahan akademik yang berautoriti, sekali gus mengukuhkan hujah bahawa institusi pendidikan bukan sekadar membiayai akses kepada maklumat, malah pada asasnya sedang memelihara integriti akademik itu sendiri.
Dalam konteks ini, inisiatif tahunan '10 Minit Membaca' yang diadakan bersempena tema tahun ini, ‘Membaca Membina Bangsa,’ bukan sekadar kempen simbolik; ia merupakan satu intervensi budaya yang tersusun untuk membina semula disiplin kognitif, fokus intelektual, dan tabiat pembacaan reflektif dalam masyarakat digital yang semakin mudah terganggu.
Oleh itu, sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2026 melangkaui penghargaan terhadap karya sastera semata-mata dan berkembang menjadi wacana yang lebih luas mengenai kelestarian intelektual.
Dalam era yang mementingkan penghasilan kandungan automatik dan sirkulasi maklumat yang pantas, nilai buku, perpustakaan, dan sumber ilmiah yang disahkan bukan terletak pada keupayaan menyaingi kelajuan teknologi, tetapi pada peranan mereka dalam mengekalkan kedalaman, kredibiliti, kefahaman kontekstual, dan asas etika ilmu pengetahuan.
Teks Asal: PrivinKumar Jayavanan, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Neoh Yong Jun, Pelatih Industri@ MPRC
- Created on .
- Hits: 46