USM DAN UiTM METERAI MoA, KERJASAMA PERKASA KEMUDAHAN PENGINAPAN PELAJAR

BERTAM, PULAU PINANG, 10 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam, memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penyediaan kemudahan penginapan untuk pelajar program Doktor Perubatan USM di Kolej Kediaman Al-Zahrawi, UiTM Kampus Bertam.

Majlis penandatanganan perjanjian yang berlangsung di UiTM Kampus Bertam itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali.

Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama antara UiTM Kampus Bertam dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM, dalam penyediaan penginapan kepada pelajar program Doktor Perubatan USM sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mereka sepanjang tempoh pengajian.

Melalui perjanjian itu, UiTM bersetuju menyediakan kemudahan penginapan di Kolej Kediaman Al-Zahrawi yang melibatkan empat buah rumah untuk kegunaan pelajar USM, lengkap dengan kemudahan sokongan sedia ada seperti Wi-Fi, surau, kafeteria, gelanggang futsal, dan dobi layan diri.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata, kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi pendidikan tinggi awam dalam memperkukuh jaringan kerjasama demi manfaat pembangunan pelajar dan pengoptimuman sumber secara bersama.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan penginapan yang kondusif dan sistematik amat penting dalam menyokong kesejahteraan serta kecemerlangan akademik pelajar, khususnya dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.
Sementara itu, Ahmad Rashidy pula berkata, UiTM menyambut baik kerjasama berkenaan dan berharap hubungan strategik antara kedua-dua institusi dapat terus diperkasakan melalui pelbagai bentuk kolaborasi pada masa hadapan yang melibatkan bidang akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar, dan jaringan komuniti.

Majlis turut dihadiri barisan pengurusan kanan kedua-dua universiti, pegawai akademik dan staf yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan memorandum perjanjian tersebut.

Kerjasama ini diharap dapat menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi awam sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan negara yang holistik dan mampan.

Teks: Nur Anis Syamimi Mohammad Azmi/Suntingan: Prof. Madya Dr. Hazwani Ahmad Yusof@Hanafi & Yusmadi Norashid/Foto: Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), USM
- Created on .
- Hits: 262