PPPJJ USM PERKUKUH JARINGAN GLOBAL MELALUI PROGRAM MOBILITI PELAJAR KE UZBEKISTAN

USM PULAU PINANG, 10 Jun 2026 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM), mencatatkan satu pencapaian penting menerusi penganjuran program mobiliti pelajar antarabangsa pertamanya ke Fergana State University (FSU), Uzbekistan, baru-baru ini.
Program yang dikenali sebagai International Learning & Cultural Exchange (USM-FSU ILCE) itu berlangsung dari 1 hingga 8 Mei lalu, melibatkan penyertaan tujuh pelajar PPPJJ yang terpilih.

Kesemua peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan, termasuk penyertaan dalam persidangan antarabangsa, lawatan kampus, sesi interaksi bersama pelajar FSU serta penerokaan warisan budaya Uzbekistan yang kaya dengan sejarah dan tradisi.
Menurut Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab, antara pengisian utama program ialah pelancaran Pavilion Malaysia di FSU yang mengetengahkan keunikan budaya Malaysia kepada komuniti universiti dan masyarakat setempat.

Katanya, delegasi PPPJJ memperkenalkan pelbagai elemen budaya Malaysia melalui pameran pakaian tradisional, permainan kebudayaan, demonstrasi penyediaan roti jala serta sajian makanan tradisional seperti bahulu, dodol, rempeyek dan teh tarik.
“Program itu turut memberi peluang kepada pelajar memperluas perspektif global, membina jaringan persahabatan antarabangsa serta meningkatkan kefahaman antara budaya.

“Selain itu, penyertaan dalam program mobiliti berkenaan membolehkan pelajar berperanan sebagai duta kecil USM dan Malaysia di peringkat antarabangsa,” jelas beliau lanjut.

Mohd Rashid juga berkata, PPPJJ turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan komitmen, profesionalisme serta semangat kecemerlangan sepanjang program berlangsung.

“Inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang berfikiran global, berdaya saing dan berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dunia tanpa mengira sempadan,” katanya.
Teks & Foto: Mohd Rashid Abdul Rejab, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), USM
- Created on .
- Hits: 74