MPRC PERHEBAT USAHA PENYELARASAN IDENTITI VISUAL UNIVERSITI

“Seragam Identiti, Kukuh Reputasi”
PULAU PINANG, 10 Jun 2026 – Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmennya dalam memperkukuh keseragaman identiti visual universiti melalui penganjuran Siri Libat Urus Pengukuhan Identiti Visual dan Keterlihatan USM.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman warga universiti mengenai penggunaan identiti visual rasmi USM secara tepat, konsisten dan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan. Sebagai sebuah institusi yang mempunyai identiti dan reputasi yang kukuh, setiap elemen visual yang digunakan memainkan peranan penting dalam mencerminkan profesionalisme, kredibiliti serta imej universiti secara keseluruhan.

Bertemakan “Satu Identiti. Satu Suara. Satu USM.”, program ini menjadi platform untuk menyelaras kefahaman berkaitan penggunaan logo rasmi universiti, memperkukuh amalan terbaik dalam penghasilan bahan komunikasi serta memupuk kesedaran tentang kepentingan menampilkan identiti USM secara konsisten merentasi pelbagai saluran dan medium komunikasi.

Sepanjang siri libat urus ini, peserta didedahkan kepada garis panduan penggunaan logo universiti, aplikasi identiti visual dalam bahan komunikasi rasmi, contoh-contoh amalan terbaik serta perkembangan semasa berkaitan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan bahan kreatif dan promosi.
Program ini turut menampilkan sesi Brand Clinic, yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan pandangan, nasihat dan penjelasan secara langsung daripada pasukan MPRC mengenai isu-isu berkaitan identiti visual serta aplikasi logo di peringkat PTJ.

Menurut Pengarah MPRC, Latifah Abdul Latif; pengukuhan identiti visual memerlukan komitmen bersama seluruh warga USM bagi memastikan setiap bahan komunikasi yang dihasilkan menampilkan imej universiti yang profesional, diyakini dan mudah dikenali.
"Setiap elemen identiti visual USM membawa nilai, aspirasi dan kecemerlangan universiti; justeru penggunaannya yang konsisten akan terus memperkukuh kedudukan serta keterlihatan USM sebagai institusi pendidikan tinggi yang disegani," ujur beliau lagi.
Melalui penganjuran siri ini, MPRC berharap dapat memperkukuh kefahaman dan amalan terbaik berkaitan identiti visual universiti dalam kalangan warga USM. Usaha ini penting bagi memastikan setiap bahan komunikasi, penerbitan dan platform rasmi universiti menampilkan imej yang konsisten, profesional dan selaras dengan aspirasi USM sebagai sebuah institusi ilmu yang dihormati serta diyakini di peringkat nasional dan antarabangsa.
Teks: Muhammad Thoriq Ziyad, Pejabat Naib Canselor, USM/Suntingan: Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Ismail, Konsultan Editorial Kanan@MPRC, USM/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq, Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), USM
- Created on .
- Hits: 307