BAHASA INGGERIS SEBAGAI SISTEM OPERASI ILMU GLOBAL: MENGAPA 23 APRIL PENTING UNTUK SETIAP DISIPLIN
USM PULAU PINANG, 23 April 2026 – Sambutan Hari Bahasa Inggeris 2026 pada hari ini bukan sekadar pengiktirafan simbolik terhadap sebuah bahasa global, malah mencerminkan peranan Bahasa Inggeris yang semakin kompleks sebagai medium pembentukan kognisi, perbincangan realiti sosial, dan pemudahcara interaksi profesional dalam masyarakat kontemporari.
Secara rasmi diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2010 bagi mempromosikan kepelbagaian bahasa dan budaya, sambutan tahunan pada setiap 23 April bertepatan dengan tarikh kelahiran dan kematian penulis dan penyair terkenal William Shakespeare, di mana legasi kesusasteraannya terus mempengaruhi wacana linguistik dan budaya global.
Analisis pendidikan dan sosioekonomi kontemporari semakin menempatkan Bahasa Inggeris bukan sekadar sebagai bahasa komunikasi antarabangsa, tetapi sebagai infrastruktur utama bagi peredaran ilmu, diplomasi institusi, penglibatan teknologi, serta mobiliti intelektual.
Seperti yang diketengahkan dalam laporan oleh British Council dan UNESCO, kecekapan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris kini berkait rapat dengan kebolehpasaran, kerjasama rentas negara, dan akses kepada sistem pengetahuan global, khususnya dalam persekitaran yang saling terhubung secara digital.
Mengulas dimensi yang lebih mendalam mengenai penggunaan bahasa, Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Bahasa Inggeris untuk Profesional (English for Professionals) di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (SoLLaT) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Alla Baksh Mohamed Ayub Khan menegaskan bahawa bahasa seharusnya difahami melalui fungsi komunikatifnya dan bukan sekadar melalui aspek mekanikal tatabahasa secara terasing.
Menurut beliau, integrasi kompetensi reseptif dan produktif iaitu membaca, mendengar, bertutur, dan menulis akhirnya membentuk kecerdasan komunikasi serta interaksi sesama manusia.
“Sebagai pengguna bahasa, bahasa yang kita gunakan sebenarnya mencerminkan banyak perkara termasuk cara kita berfikir, cara kita meletakkan sesuatu idea, dan cara kita berhubung dengan orang lain,” katanya.
Alla Baksh menegaskan bahawa bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, tetapi juga mencerminkan cara berfikir, cara berhujah, dan kepekaan sosial.
“Ia jelas kelihatan dalam bagaimana individu merundingkan makna, berinteraksi dengan pandangan berbeza, dan menyesuaikan diri dengan tuntutan sesuatu konteks,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa bahasa bukan sahaja berfungsi sebagai instrumen komunikasi, malah sebagai manifestasi profesionalisme, pembentukan pandangan dunia, dan pembinaan identiti dalam masyarakat yang pluralistik.
Pandangan beliau mencerminkan kecenderungan dalam kajian linguistik kontemporari yang semakin menafsirkan bahasa sebagai seni bina kognitif dan sosiobudaya, bukannya sekadar alat komunikasi yang neutral.
Beliau menambah, dalam ekosistem akademik dan profesional moden, keberkesanan komunikasi kini berkait secara intrinsik dengan keupayaan penaakulan kritis, kesedaran kontekstual, dan penglibatan beretika, sekali gus mengukuhkan hakikat bahawa kompetensi linguistik tidak dapat dipisahkan daripada kematangan intelektual seseorang.
Dalam era pendigitalan yang pesat dengan integrasi kecerdasan buatan (AI) dan rangkaian komunikasi tanpa sempadan, Sambutan Hari Bahasa Inggeris 2026 menegaskan satu hakikat penting: bahasa kini bukan lagi sekadar medium penyampaian maklumat, tetapi berperanan aktif dalam membentuk cara masyarakat membina makna, melaksanakan pengaruh, dan mengambil bahagian dalam tamadun global.
Teks Asal: PrivinKumar Jayavanan, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Neoh Yong Jun, Pelatih Industri @ MPRC
- Created on .
- Hits: 70