USM FC SEDIA GALAS CABARAN WAKILI PULAU PINANG DI PENTAS MAKSAK KEBANGSAAN

KUALA TERENGGANU, 9 Jun 2026 – Kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Pulau Pinang kepada Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pasukan USM FC untuk membentuk dan mengurus pasukan bola sepak negeri ke Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Kebangsaan 2026 bukanlah satu amanah biasa.
Ia merupakan pengiktirafan terhadap reputasi, kredibiliti, dan kecemerlangan berterusan USM FC yang telah membuktikan kemampuan kelab bola sepak itu bersaing di pentas bola sepak nasional menerusi penyertaan dalam saingan AFL A2.
Mandat yang diberikan ini menjadi simbol keyakinan tinggi seluruh warga perkhidmatan awam Pulau Pinang terhadap kemampuan USM FC untuk menggalas cabaran negeri dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan terbaik MAKSAK dari seluruh negara.
Sebagai antara pasukan institusi yang semakin menyerlah dalam landskap bola sepak negara, USM FC telah membina nama melalui pengurusan profesional, pembangunan bakat yang sistematik, dan semangat juang yang tinggi.
Pengalaman beraksi dalam liga kompetitif kebangsaan memberikan kelebihan besar kepada pasukan dalam menghadapi tekanan dan cabaran di pentas MAKSAK Kebangsaan.
Menurut pihak pengurusan pasukan, amanah ini diterima dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen untuk mengharumkan nama Pulau Pinang.
Pengerusi Pasukan Bola Sepak MAKSAK Pulau Pinang 2026 merangkap Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff, berkata mandat ini adalah satu penghormatan besar kepada USM amnya dan USM FC khususnya.
"Kami akan memberikan yang terbaik demi memastikan Pulau Pinang tampil sebagai pencabar utama dalam kejohanan ini. Seluruh pasukan bertekad membawa semangat juang, disiplin, dan profesionalisme yang menjadi identiti USM FC dan selari dengan moto 'Kami Memimpin' USM,” kata beliau.
Kejohanan yang berlangsung di Kuala Terengganu bermula 9 sehingga 14 Jun 2026 dijangka menyaksikan persaingan sengit daripada pasukan-pasukan negeri yang turut diperkuatkan oleh pemain berpengalaman dalam pelbagai liga tempatan.
Namun, USM FC hadir dengan kelebihan tersendiri hasil kombinasi pemain berpengalaman, bakat muda berkualiti, serta sokongan padu pengurusan dan kejurulatihan pasukan.
Lebih daripada sekadar memburu kemenangan, penyertaan ini membawa misi yang lebih besar iaitu memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penjawat awam seluruh negara dan memartabatkan budaya sukan cemerlang dalam perkhidmatan awam.
Seluruh warga USM, komuniti sukan Pulau Pinang, dan keluarga besar MAKSAK negeri pasti menaruh harapan tinggi agar skuad yang membawa panji Pulau Pinang ini mampu melakar kejayaan membanggakan di bumi Terengganu.
Ayuh Pulau Pinang! Ayuh USM! Ayuh USM FC!
Dengan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur, disiplin yang tinggi, dan tekad untuk berjaya, pasukan USM FC mampu mengibarkan bendera Pulau Pinang dengan penuh megah serta membawa pulang kejayaan yang menjadi kebanggaan seluruh warga negeri.
“Demi Pulau Pinang, Demi Kecemerlangan, Demi Kemenangan!”
Teks & Foto: Pengurusan Kelab Bola Sepak USM FC
- Created on .
- Hits: 247