‘RAKAN MUDA: IMPAK 2026’ MEMPERKASA KEPIMPINAN BELIA DI UNIVERSITI

USM PULAU PINANG, 23 April 2026 – Program ‘Rakan Muda: IMPAK 2026 Peringkat Kebangsaan’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakan Muda Universiti Sains Malaysia (SRMUSM) telah melabuhkan tirainya dengan jayanya pada 19 April 2026.
Dua komponen utama telah dilaksanakan dalam program tersebut, iaitu ‘Rakan Muda: Diskusi NextGen Kali Ke-16’ dan ‘Rakan Aktif: Piala Rakan Muda 2026’, yang melibatkan penyertaan universiti-universiti dari seluruh Malaysia.
Program tersebut berfungsi sebagai platform kebangsaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan belia, kerjasama antara universiti serta pemerkasaan kesejahteraan holistik pelajar melalui penglibatan intelektual dan fizikal.

Sesi ‘Diskusi NextGen’ yang berlangsung pada 18 April 2026 dengan tema “Sync-Up 2026: Connecting Young Minds” telah menghimpunkan lebih 300 wakil Sekretariat Rakan Muda daripada institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Sesi tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

Program tersebut memberi fokus kepada pengukuhan jaringan institusi dalam kalangan badan kepimpinan pelajar di samping menggalakkan perbincangan berkaitan penyertaan belia, kebolehsuaian kepimpinan, dan penglibatan kolaboratif dalam persekitaran pendidikan tinggi.
Sesi diskusi tersebut turut menekankan kepentingan platform belia yang tersusun dalam membangunkan kemahiran berkomunikasi, keupayaan berfikir secara kritis, dan kompetensi organisasi dalam kalangan pelajar universiti.
Melalui interaksi antara universiti dan aktiviti perkongsian ilmu, para peserta didedahkan kepada perspektif yang lebih luas berkaitan amalan kepimpinan pelajar, penglibatan komuniti, dan peranan organisasi belia yang semakin berkembang dalam menyokong keutamaan pembangunan negara.
Sementara itu, ‘Rakan Aktif: Piala Rakan Muda 2026’ yang berlangsung pada 19 April 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang melibatkan 333 peserta yang mewakili 15 universiti melalui aktiviti seperti pertandingan ‘dodgeball’ dan pelbagai permainan mini.
Segmen berasaskan sukan itu menekankan aspek kerja berpasukan, disiplin, koordinasi strategik, dan penyertaan aktif sambil mempromosikan gaya hidup pelajar yang lebih sihat dan seimbang.
Program tersebut turut mencerminkan penekanan institusi yang semakin meningkat terhadap integrasi kesejahteraan fizikal dan interaksi sosial dalam inisiatif pembangunan pelajar.

Aktiviti yang berteraskan penglibatan sukan secara kolaboratif ini menyumbang kepada pengukuhan hubungan interpersonal, keupayaan membina pasukan, dan perpaduan sosial dalam kalangan peserta daripada pelbagai latar belakang akademik dan institusi.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat), inisiatif tersebut memperlihatkan peranan program belia yang diterajui universiti dalam menyokong pembangunan sosial yang lestari melalui kerjasama strategik antara organisasi pelajar, institusi pendidikan tinggi, dan agensi pembangunan belia.
Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab terhadap program Rakan Muda, Abdul Hamid Haji Mohd Yassin, berkata program ini telah menghasilkan impak positif bukan sahaja kepada para peserta, malah kepada pembangunan komuniti belia secara lebih meluas melalui penglibatan berterusan dan aktiviti yang berorientasikan kepimpinan.

Secara keseluruhannya, ‘Rakan Muda: IMPAK 2026’ mengukuhkan kepentingan platform pembangunan belia bersepadu yang menggabungkan wacana intelektual, penyertaan aktif, dan kerjasama peringkat kebangsaan bagi memperkasakan kapasiti kepimpinan serta pembangunan holistik pelajar dalam landskap institusi pendidikan tinggi Malaysia.
Teks Asal: PrivinKumar Jayavanan, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), USM/Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Sekretariat Rakan Muda, USM
- Created on .
- Hits: 55