USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT TUMPU BIDANG PERAWATAN KANSER

RANZCR ASM 2013 P2Ranzcr2

 

 

BERTAM, Dis 2013 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kumpulan pertama pesakit barah yang mendapatkan rawatan susulan di Kompeks Klinikal penghujung September lalu. IPPT kini sedang mempergiat usaha untuk meningkat dan membangunkan bidang Onkologi sebagai salah satu perkhidmatan utama yang ditawarkan kepada masyarakat.

Dr. Gokula Kumar merupakan salah seorang Pensyarah Perubatan yang bertanggungjawab melaksanakan hasrat kearah memperkasa bidang Onkologi di IPPT. Beliau adalah merupakan  pakar Onkologi yang pertama di Malaysia dengan kelulusan kepakaran (Fellowship) dari Royal Australian and New Zealand College of Radiologists (RANZCR).

Beliau dianugerahkan Fellowship tersebut setelah menjalani latihan intensif selama lima tahun dalam bidang Onkologi di National University Singapore dan William Buckland Radiotherapy Centre, Melbourne.

Pakar Onkologi Klinikal merupakan pakar perubatan yang mahir dalam rawatan kanser selain pembedahan seperti penggunakan radioterapi, kemoterapi, terapi hormon, isotop radioaktif dan lain-lain kaedah khas.

Perkhidmatan Radioterapi & Onkologi untuk pesakit barah di IPPT kini dalam fasa pembangunan sementara menunggu peralatan yang lengkap dan canggih yang dijangka diterima awal tahun hadapan. Buat masa ini, IPPT menggunakan khidmat peralatan dari sebuah hospital swasta untuk menjalankan rawatan radioterapi kepada pesakit kanser.

Walaubagaimanapun, Unit Radioterapi IPPT bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan temujanji untuk prosedur simulasi, perancangan rawatan, dan rawatan serta urusan logistik pesakit. Pesakit juga akan diberikan kaunseling dan penerangan yang secukupnya tentang rawatan radioterapi dan kesan sampingannya.

Sebelum ini, IPPT telah melaksanakan beberapa perkhidmatan berkenaan kanser seperti penjagaan HOSPIS Fatimah Az-Zahra kepada pesakit kanser, penubuhan Makmal Rekonstitusi Ubat Sitotoksik untuk menyediakan ubat kemoterapi serta aktiviti kumpulan sokongan kanser oleh Unit Rawatan Harian selain program-program kesedaran kanser yang dilaksanakan bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya penyakit ini.

Pada masa hadapan, IPPT berhasrat untuk menjadi sebuah pusat rujukan utama penyakit kanser di utara tanah air dan berperanan memberi rawatan perubatan yang terbaik, terbaru dan bermutu kepada pesakit yang datang ke institut ini untuk mendapatkan rawatan penyakit kanser.

  • Created on .
  • Hits: 1384

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024