PENCAPAIAN USM 2014 MEMBERANGSANGKAN – USM TANDATANGAN PERSEFAHAMAN DENGAN LEBIH 400 INSTITUSI DI 60 BUAH NEGARA
PULAU PINANG, 21 Januari 2015 - Walau pun secara terperincinya, pencapaian Universiti Sains Malaysia (USM) sepanjang 2014 sedang dianalisis, namun data dan statistik yang ada menunjukkan pencapaian USM adalah memberangsangkan.
Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, petunjuk yang ada memperlihatkan peningkatan dalam faktor impak dan bilangan penerbitan pensyarah yang melebihi sasaran serta bilangan pensyarah yang meningkat naik dengan produktif.
“Dalam hal sitasi, 225 pensyarah mempunyai kumulatif sitasi lebih 100, 144 pensyarah USM sekarang mempunyai sitasi lebih 250, 78 mempunyai sitasi melebihi 500, 28 mempunyai sitasi melebihi 1000, 7 mempunyai sitasi melebih 2500 dan 3 melebihi sitasi 5000 dengan anggaran awal 3,754 penerbitan berbanding 2,648 pada 2013, manakala paten yang diperolehi adalah sebanyak 8 dan yang difailkan sebanyak 20 di samping keupayaan menjana 596 geran baru penyelidikan,” kata Omar dalam Perutusan Tahunan Naib Canselor “Bersama-sama untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2015” yang bertemakan Memacu Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara di sini yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 kakitangan USM.
Tambahnya lagi, berdasarkan penarafan yang ada prestasi USM mempunyai 12 subjek utama dalam 200 teratas di dunia, yang paling konsisten di tempat 28 di dunia ialah Sains Persekitaran manakala 12 bidang penyelidikan di USM telah ditempatkan pada kedudukan 200 terbaik di dunia dalam QS World Subject Ranking dengan bidang Sains Persekitaran, Farmasi, Kejuruteraan dan Teknologi pada kedudukan 100 terbaik.
Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) pula bergerak maju dalam teras penyelidikan manakala Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) Teras Perkhidmatan yang pertama di negara ini dalam bidang tujahan Pengurusan Saliran Bandar Lestari manakala dua lagi pusat baharu diluluskan penubuhan oleh USM iaitu Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) dan Institut Penyelidikan dan Teknologi Nano Opto Elektronik atau Institute of Nano Opto Electronics Research and Technology – INOR, di samping prestasi Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PiPPA) yang baru sahaja beroperasi amatlah memberangsangkan.
“USM juga mempunyai rangkaian penyelidikan dengan beberapa institusi terkemuka dunia seperti RIKEN di Jepun, Yale di Amerika Syarikat dan Cambridge University di UK, serta beberapa institusi lain terutamanya di Perancis dan German di samping mempunyai program-program akademik terkemuka dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Teknologi Persekitaran. Manakala program pesisiran perubatan antarabangsa di USM-KLE India akan memasuki fasa keduanya tahun ini apabila graduan sulungnya dijangka dilahirkan pada November nanti,” jelas Omar.
Sementara itu, kata Omar, USM juga memperkukuhkan lagi hubungannya dengan industri melalui penubuhan kluster untuk memenuhi keperluan industri dan sektor korporat melalui nic tertentu milsalnya Kluster SME-Assist di samping meningkatkan hubungan strategik jangka panjang dengan industri misalnya dengan Toray, CIMB, Fuji, Altera dan kerjasama industri melalui Internship pelajar, sandaran staf akademik, penyelidikan gunaan projek industri dan khidmat uji kaji.
“Dalam kolaborasi antarabangsa, USM telah menandatangani 425 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang melibatkan pelbagai institusi di lebih 60 buah negara,” tambahnya lagi.
Menyentuh tentang pelajar, USM yang kini mempunyai 33,350 pelajar dengan 22,269 pelajar pra siswazah termasuk 8,000 orang pelajar separuh masa dan 11,081 pelajar siswazah turut berbangga dengan pencapaian mereka dan usaha berterusan dalam pembangunan sahsiah yang akan terus diperkasakan.
“Pelajar USM terlibat aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh universiti mahu pun aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar sendiri iaitu 98.49% penglibatan pelajar tahun pertama, 99.72% penglibatan pelajar tahun kedua, 99.84% penglibatan pelajar tahun ketiga dan 100% penglibatan pelajar tahun keempat di samping 99.65% penglibatan pelajar tahun akhir bergiat aktif dalam penilaian mata MyCSD,” kata Omar.
Naib Canselor USM juga berbangga dengan penglibatan pelajar dalam kor sukarelawan dan kampus sejahtera yang amat memberangsangkan.
“Kor Sukarelawan USM dianggotai oleh seramai 2,000 orang mahasiswa yang bergiat aktif di luar kampus, manakala sukarelawan Kampus Sejahtera mengumpulkan penglibatan 10,108 orang pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan di dalam kampus yang lebih tertumpu pada aktiviti berlegar sekitar pelbagai isu kelestarian,” tambah Omar.
Pada masa ini kira-kira 80.1% peratus graduan USM bekerja dengan 16.1% peratus graduan bekerja di syarikat-syarikat multinasional dunia (MNCs) dengan hampir 5% graduan antarabangsa bekerja di luar negara yang melibatkan 1,720 jumlah graduan sarjana dan 583 jumlah graduan Ijazah Kedoktoran. Teks: Mohamad bin Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2073