USM RANGKUL TIGA ANUGERAH DALAM ABN 2013
PULAU PINANG, 12 Dis. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus melakarkan kecemerlangan apabila terpilih sebagai penerima untuk tiga kategori utama termasuk Anugerah Perdana Penerbit Universiti Awam dalam Anugerah Buku Negara (ABN) 2013 di Kuala Lumpur hari ini.
Pemilihan USM dibuat berdasarkan komitmen dan sumbangan besar dalam penghasilan dan penerbitan karya-karya bermutu tinggi meliputi pelbagai lapangan dari ia mula ditubuhkan sehingga hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hadir menerima anugerah berprestij tersebut yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis khas yang diadakan bersempena Expo Buku Malaysia 2013.
Pemilihan USM dibuat setelah melalui penelitian dan semakan oleh Panel Penilai Profesional ABN yang dipengerusikan oleh Ketua 1 GAPENA, Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar.
USM turut melakar kejayaan berganda apabila turut dinobat sebagai penerima anugerah bagi kategori Industri Buku Umum Terbaik melalui buku bertajuk Architechture and Heritage Building in George Town Penang karya Ahmad Sanusi Hasan dan Shaiful Rizal Che Yahaya (kategori seni bina), dan Cam-Melayu Abad Ke-19:Pemberontakan dan Diaspora karya Mohamad Zain Musa bagi kategori kajian manuskrip lama.
ABN adalah majlis anugerah tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 dan disediakan dalam dua kelompok iaitu kelompok anugerah perdana dan industri.
Majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) tersebut diadakan khusus bagi menghargai sumbangan individu, penerbit, penulis, editor, pencetak, pereka letak dalam memperkasakan industri buku negara. Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1256