USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA KEPIMPINAN DAN DISIPLIN MAHASISWA MELALUI HARI PERBARISAN BADAN BERUNIFORM

IMG 5211

USM PULAU PINANG, 6 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh agenda pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa menerusi penganjuran Program Hari Perbarisan Badan Beruniform Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung di Padang Kawad, USM pagi ini.

Program yang menghimpunkan pelbagai pasukan badan beruniform universiti itu menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat kesukarelawanan, disiplin, kepimpinan, dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

IMG 5212

Naib Canselor USM, Kolonel (Kehormat) Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang hadir merasmikan perbarisan tersebut, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua unit badan beruniform atas kejayaan menganjurkan program tersebut dengan penuh semangat, dedikasi, dan komitmen yang tinggi.

IMG 5214

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pasukan Kor SISPA selaku pengerusi kor penganjur, Pasukan PALAPES Darat, Laut dan Udara, Pasukan Kor SUKSIS, Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia USM, Pasukan St. John Ambulans serta Pasukan Kelanasiswa Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berprestij itu.

“Program ini bukan sahaja mencerminkan semangat kesukarelawanan, kepimpinan, dan perpaduan, malah berfungsi sebagai platform untuk memupuk nilai disiplin serta ketahanan fizikal dan mental dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi USM,” katanya.

IMG 5217

Menurut beliau lagi, penglibatan aktif dalam badan beruniform membantu membentuk disiplin diri dan memperkukuh kemahiran insaniah yang penting sebagai persediaan menghadapi cabaran kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan.

“Ini selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang akademik mahu pun kokurikulum, justeru mahasiswa sentiasa digalakkan menghayati nilai HEBAT iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking,” jelas Abdul Rahman yang juga Komandan PALAPES dan Komandan Kor SUKSIS USM.

IMG 5216

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan dalam badan beruniform amat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan generasi pelapis negara yang berilmu, berdisiplin, dan berintegriti tinggi.

"Nilai disiplin, kepimpinan, dan semangat kerja berpasukan yang dipamerkan hari ini merupakan aset penting dalam membentuk generasi pelapis negara yang menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dan cintakan tanahair," tambah beliau lagi.

IMG 5213

Pada majlis tersebut, Naib Canselor turut melakukan pemeriksaan perbarisan dan berkesempatan bergambar bersama setiap badan beruniform terlibat bagi sidang akademik 2025/2026.

Perbarisan kali ini diketuai oleh Pegawai Kadet SISPA, Mohammad Nasrun Wan Nawang dan disertai oleh seramai 234 pegawai kadet semua badan berunifom yang lain.

Pada perbarisan kali ini, Pasukan Kelanasiswa Malaysia turut membuat penampilan kali pertama sejak penstrukturan dan pengambilan kumpulan sulung pelatih mulai Sidang Akademik 2025/2026 yang lalu.

Selain mempersembahkan kawad perbarisan yang penuh berdisiplin dan bersemangat, program tersebut turut menampilkan pameran daripada setiap unit badan beruniform yang terlibat.

Pameran ini memberi peluang kepada warga kampus dan para pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat peranan, fungsi, latihan, pencapaian, dan aktiviti yang dijalankan oleh setiap pasukan.

Inisiatif ini sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai sumbangan badan beruniform dalam membentuk mahasiswa yang berdaya tahan, berintegriti, dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Mejar Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim merangkap Timbalan Komandan PALAPES USM; Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Malaysia (SISPA) USM, Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim; Timbalan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) USM, SUPT/KS Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun; Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Dr. Noor Alyani Nor Azazi; dan Pengarah Projek Perbarisan Badan Beruniform USM Sidang Akademik 2025/2026, Pegawai Kadet SISPA Muhammad Asyqar Widad Mohd Azrol Nizam serta tetamu jemputan yang lain.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 252

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025