BANGUNKAN PERANCANGAN PASCA BENCANA
PULAU PINANG, 12 Disember 2013 - Program jangka panjang selepas bencana alam seperti banjir perlu dibangunkan segera dalam membantu proses pemulihan mangsa.
Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysua (USM) Profesor Dato' Dr Omar Osman ketika melancarkan sukarelawan banjir ke Pantai Timur di sini pagi ini.
"Kerana itu, sukarelawan juga diminta mengenalpasti apa lagi sumbangan yang boleh diberi dari segi pembangunan infrastruktur terutamanya dalam kalangan mahasiswa kejuruteraan." kata Omar.
Katanya, kita boleh bekerjasama dalam membangun semula menggunakan kepakaran yang ada, malah boleh gemblengkan juga kepakaran dan sukarelawan dalam kalangan USM dan Institut Pengajian Tinggi Awam lain sebagai usaha berterusan yang melibatkan pelbagai disiplin dan kepakaran tanpa hanya mengharap agensi kerajaan melakukan tugas rekonstruksi selepas banjir dan bencana alam.
Kerjasama ini perlu melibatkan semua pihak melalui perancangan jangka panjang dalam menguruskan pemulihan, bina semula dan rekonstruksi selepas berlaku bencana, bukan sahaja di sini tetapi juga di seluruh dunia.
Apa yang ingin dilaksanakan dan dihasratkan untuk membantu masyarakat di Pantai Timur akan tercapai melalui usaha ini dan terdapat tidak kurang dari 20 orang staf dan ramai lagi yang dijangka turut serta di samping Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Pulau Pinang dan pasukan perubatan USM Kampus Kesihatan bersama-sama lebih 200 orang pelajar menyertai misi sukarela ini.
"USM membiayai perjalanan dan usaha ini sepenuhnya terutamanya untuk bersama-sama memulihkan selepas bencana walau pun ada yang ingin pergi tatkala banjir mula melanda," tambah Naib Canselor USM itu lagi.
Kutipan sebanyak RM15,000 dalam kalangan pelajar akan diguna untuk memberi bantuan terus kepada mangsa banjir manakala kutipan dalam kalangan staf akan digunakan untuk membantu kira-kira 30 orang pelajar dan keluarga mereka yang terlibat dalam banjir yang keseluruhannya dijangka mencecah sekitar RM30,000. USM memberikan pelepasan kepada staf yang melibat diri dalam kerja sukarela.
Omar turut mengucapkan terima kasih kepada pelajar dan yang terlibat dalam kerja sukarelawan ini. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1143