USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘BLUE CAREERS DAY 2026’ HUBUNGKAN PELAJAR USM DENGAN PELUANG KERJAYA DALAM EKONOMI BIRU LESTARI

USM PULAU PINANG, 13 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) telah menganjurkan ‘Blue Careers Day 2026: Building a Sustainable Future’ di Dewan Utama Peperiksaan B (DUP B) baru-baru ini.

Program tersebut menghimpunkan pelajar, pihak industri, penyelidik, agensi kerajaan dan organisasi yang berkaitan untuk meningkatkan kesedaran serta pendedahan terhadap peluang kerjaya dalam ekonomi biru lestari.

Acara tersebut dianjurkan bersama dengan Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) USM dan disokong oleh Projek SustainaBlue Erasmus+.

Tujuannya adalah untuk menghubungkan pelajar dengan bakal majikan dalam sektor berkaitan laut, selain menggalakkan kebolehpasaran graduan, kesesuaian dengan pasaran kerja, dan laluan kerjaya yang mampan.

Program sehari pada 2 April itu menampilkan pembentangan pakar industri, sesi jaringan kerjaya, serta perbincangan mengenai peranan wanita dalam ekonomi biru dan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan kesihatan lautan.

Pengarah CEMACS, Profesor Madya Dr. Mahadi Mohammad berkata, program ini bukan sekadar pameran kerjaya biasa tetapi menekankan aspek kelestarian dan inovasi dalam pembangunan tenaga kerja.

“Blue Careers Day 2026 memberi peluang kepada pelajar untuk memahami kedudukan mereka dalam ekonomi laut masa depan, kemahiran industri yang diperlukan, dan kepentingan mengintegrasikan kelestarian dalam amalan profesional. Inilah ruang di mana akademia, industri, kerajaan, dan masyarakat umum perlu bergabung,” katanya.

Pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil daripada pelbagai sektor termasuk firma perunding alam sekitar, organisasi penyelidikan, NGO, agensi kerajaan, dan pihak industri.

Antara organisasi yang terlibat ialah Malaysian Nature Society (Cawangan Pulau Pinang), TNB Research Sdn. Bhd., Malaysia Aquaculture Development Association (MADA), Alpha Ocean Resources Berhad, Nan Rong Agriculture Group Sdn. Bhd., WorldFish, WWF, Penang Hill Biosphere Reserve, Penang Hill Corporation, dan Kedah Regional Development Authority (KEDA).

Mahadi menambah, “Salah satu fokus utama program ini ialah memperkasakan wanita dalam ekonomi biru, dengan menekankan kepentingan meningkatkan penyertaan wanita dan mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kelestarian marin.”

Beliau turut menjelaskan bahawa dengan menghubungkan pembelajaran di bilik kuliah dengan peluang sebenar, pelajar mendapat gambaran tentang keperluan industri dan kemahiran dalam bidang sains marin, dasar, kelestarian, akuakultur, tadbir urus pantai, dan pemuliharaan.

“Apabila ekonomi biru semakin berkembang, inisiatif sebegini penting untuk melahirkan bakat pelbagai disiplin yang celik kelestarian. Blue Careers Day 2026 menegaskan komitmen USM dalam menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembangunan bakat yang digerakkan oleh pihak berkepentingan.

“Program ini tidak melihat kebolehpasaran hanya sebagai hasil selepas graduasi, tetapi sebagai proses berterusan yang merangkumi kesedaran, pendedahan, jaringan, dan kemahiran sejak awal perjalanan pelajar,” jelasnya.

Blue Careers Day 2026 menjadi platform strategik untuk kerjasama, keterlihatan pelajar, dan perkongsian maklumat, sekali gus mengukuhkan peranan USM dalam melahirkan bakat masa depan bagi ekonomi biru lestari.

Teks Asal: Dr. Annette Jaya-Ram, Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe/Foto: CEMACS, USM 

  • Created on .
  • Hits: 29

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025