USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA KESEDARAN TINDAKAN IKLIM DAN KARBON BIRU MELALUI PROGRAM PENANAMAN BAKAU DI BALIK PULAU

WhatsApp Image 2026 06 03 at 11.38.04

USM PULAU PINANG, 1 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti melalui penyertaan aktif dalam ‘Trip 4 Trees Mangrove Planting Programme’ di Hutan Paya Laut (Petak Arboretum), Balik Pulau.

Program pemuliharaan alam sekitar berskala besar itu berjaya menghimpunkan seramai 357 sukarelawan daripada USM, JKS Voltsvan, Penguin Solutions, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), serta komuniti setempat.

WhatsApp Image 2026 06 03 at 11.38.36

Inisiatif tersebut diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, Penyelaras Environmental Protection and Education Hub (EPEHub) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM bersama Dr. Mohd Sukri Shafie, Penasihat Green Ambassadors (GA) dan Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga & Teknologi Hijau (CETREE).

Pelaksanaan program turut dibantu oleh pelajar praktikum CGSS dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Hong Kheng Jhun; penyelaras utama GA, Then Min Han; serta 58 sukarelawan dan pelajar USM dari GA, EPEHub@CGSS, dan Tilting Futures (TF).

WhatsApp Image 2026 06 03 at 11.39.12

Program tersebut juga menarik penyertaan 30 pelajar antarabangsa dari Take Action Lab di bawah TF, bersama dua penyelaras TF, Hector Gomes de Sousa dan Aufa Hanis.

Pelajar-pelajar antarabangsa tersebut berasal dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Panama, Peru, Nigeria, Cameroon, Kenya, Rwanda, Afrika Selatan, Mesir, Pakistan, Bhutan, Rusia, Nepal, dan lain-lain.

WhatsApp Image 2026 06 03 at 11.40.59

Kesemua yang hadir berganding bahu menanam pokok bakau bagi memulihkan ekosistem pesisir pantai Pulau Pinang.

Ng menekankan bahawa ekosistem bakau amat penting dalam menyerap dan menyimpan karbon, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada karbon biru dalam usaha membendung perubahan iklim.

Majlis penanaman bakau itu dirasmikan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony, yang turut menyertai acara simbolik penanaman pokok bakau.

WhatsApp Image 2026 06 03 at 11.39.54

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa aktiviti penanaman bukan sekadar menghijaukan kawasan, tetapi mencerminkan komitmen bersama untuk kelestarian alam demi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 2020 hingga April 2026, MBPP telah menanam sebanyak 540,783 pokok di seluruh Pulau Pinang.

Sebanyak 13,750 anak pokok bakau berjaya ditanam dalam program ini.

Daripada jumlah tersebut, 10,000 anak pokok disumbangkan oleh MBPP melalui Jabatan Landskap, manakala 3,750 anak pokok disumbangkan oleh rakan korporat strategik, Penguin Solutions.

Walaupun cuaca hujan, semangat para peserta tetap tinggi. Mereka bekerjasama menanam anak pokok di kawasan berlumpur sambil mempelajari kepentingan ekosistem bakau sebagai benteng semula jadi yang mengurangkan hakisan pantai, melindungi biodiversiti marin, dan berfungsi sebagai penyerap karbon yang berkesan.

Kejayaan program tersebut membuktikan peranan penting universiti dan golongan belia dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta mempromosikan masa depan yang lebih hijau, bersih, dan lestari.

Teks Asal & Foto: Hong Kheng Jhun & Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 436

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025