USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERUSI RODA DIMODIFIKASI KHAS: PROJEK LIBATSAMA KOMUNITI USM-RICD

usm-ricd1usm-ricd12DSC 0337

 

PULAU PINANG, 6 Disember 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima 42 set kerusi roda beserta alatan bantuan berjalan yang lain daripada Institut Perkembangan Kanak-kanak Rajanagarindra (Rajanagarindra Institute of Child Development - RICD), Chiangmai, Thailand untuk diagihkan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukannya.

Sumbangan kerusi roda serta alatan bantuan berjalan seperti tongkat dan kerusi mandi yang kesemuanya bernilai lebih RM350,000 ini adalah inisiatif hasil jalinan kerjasama antara USM dan RICD dalam aspek pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran menerusi Program Sumbangan Kerusi Roda Percuma USM-RICD, berikutan memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai oleh pihak USM dan RICD pada Mei 2012.

Program ini adalah suatu projek Libatsama Komuniti peringkat antarabangsa dan merupakan projek yang julung kali seumpamanya dilaksanakan di Malaysia memandangkan kerusi roda ini dimodifikasikan khas mengikut spesifikasi dan keperluan pengguna (custom made).

Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, yang hadir bersama untuk menyerahkan kerusi roda kepada penerima bagi pihak USM, menyifatkan kerjasama itu sebagai suatu usaha murni yang amat bermakna dan mempunyai impak besar bukan sahaja kepada Universiti malah kepada penerima sumbangan juga.

“Saya percaya melalui jalinan kerjasama seumpama ini, universiti dapat menjadi agen perubahan sosial untuk membantu golongan yang memerlukan sekaligus mentransformasi kehidupan mereka dengan memberi harapan yang lebih baik kepada masa depan mereka,” kata Mustafa.

Beliau juga berharap kerusi roda yang dimodifikasikan khas itu dapat banyak membantu memudahkan pergerakan penerima kerusi roda, di samping membuka mata lebih ramai warga kampus untuk lebih prihatin terhadap golongan kelainan upaya.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada RICD kerana sudi menjadi rakan kerjasama dalam projek libatsama komuniti yang dapat memanfaatkan masyarakat luar sejajar dengan hasrat USM untuk terus menjadi sebuah universiti yang releven kepada komuniti.

“Apa yang menarik ialah program ini turut melibatkan elemen pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran, seperti yang dapat dilihat dari latihan hands on kemahiran teknikal dalam proses pemasangan, pembaikan dan penyelenggaraan kerusi roda khas yang ditawarkan oleh staf teknikal terlatih dari Projek Kerusi Roda RICD.

“Saya berharap juruteknik bidang pulihcara kerja dari Hospital Pulau Pinang, pusat-pusat spastik serta Hospital USM yang hadir hari ini dan esok dapat mempelajari sebanyak mungkin kemahiran baru dalam memasang, membaiki dan menyelenggara kerusi roda,” tambah Dr. See.

Antara penerima sumbangan kerusi roda yang dikenal pasti oleh USM pada tahun ini termasuklah mereka dari Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang, Malaysian Advocates for Cerebral Palsy dan orang perseorangan dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah RICD, Dr. Samai Sirithongthaworn dan Konsul Thailand, Puan Chayanit Pasatika yang mewakili Konsul-Jeneral Thailand di Pulau Pinang. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohamad Danial Shahri

 

  • Created on .
  • Hits: 1144

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024