PENYELIDIK WANITA USM CEMERLANG DALAM EUWIIN 2013
PULAU PINANG, 9 Dis. 2013 – Penyelidik wanita Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Fauziah Ahmad mempamerkan kecemerlangan di arena antarabangsa apabila dinobat sebagai pemenang keseluruhan bagi pertandingan rekacipta European Women Inventors & Innovators Network Exhibition, Conference & Award (EUWIIN) 2013 yang berlangsung di Stockholm, Sweden baru-baru ini.
Pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu turut meraih gelaran berganda setelah dipilih sebagai penerima ‘Special Recognition Award’ daripada pihak penganjur atas kemampuannya menghasilkan penyelidikan yang memberi manfaat kepada dunia global.
Fauziah cemerlang melalui hasil penyelidikannya, 8R Mat for Soil Erosion and Slope Protection yang berupaya memberi penyelesaian dalam menangani masalah keruntuhan cerun dan sebagainya.
Beliau membawa pulang trofi dan sijil penghargaan dalam pertandingan rekacipta yang turut disertai oleh pelbagai negera di benua Eropah tersebut.
Dalam pada itu, EUWIIN 2013 turut disertakan dengan persidangan yang bertemakan Accelerating Growth in Product & Service Innovation in Europe and beyond, yang menyaksikan pembentangan kertas kerja dan sesi dialog dalam meneroka peluang kerjasama global melibatkan peranan wanita yang lebih signifikan.
Program tahunan ini turut bertujuan memperkasakan sosio ekonomi kaum wanita melalui pelbagai cabang termasuk pembangunan kemahiran, pemindahan ilmu, hak harta intelek, akses kepada kewangan, pembangunan produk, pengkomersialan, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1013