KEJAYAAN PELAJAR HBP-USM DI INVENTA 2026 BUKTI KOMITMEN UNIVERSITI TERHADAP INOVASI DAN KELESTARIAN

USM PULAU PINANG, 1 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukan globalnya dalam bidang inovasi lestari dan penyelidikan berimpak tinggi.
Pada 25 Mei 2026 yang lalu, Wong Min Wei, pelajar sarjana muda dari Program Ukur Bangunan di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih Anugerah Emas berprestij di International Exhibition of Novel Ventures, Engineering, New Technology & Applications (INVENTA 2026).
Di bawah seliaan Profesor Madya Sr Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin, projek Min Wei yang bertajuk 'ECOBUILD: Innovative Sandwich Panel Systems for Greener Construction' telah mendapat pujian tinggi daripada panel hakim.

Inovasi tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), serta SDG 13 (Tindakan Iklim).
Pameran antarabangsa berprestij tersebut yang menghimpunkan peserta dari universiti, institusi penyelidikan, dan pemain industri dari pelbagai negara, mempamerkan inovasi terkini dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi, dan pembangunan lestari.

Bersaing dengan pelbagai ciptaan cemerlang di Pameran INVENTA 2026, ECOBUILD menyerlah dengan gabungan aplikasi praktikal dan prinsip kelestarian alam sekitar, serta potensi besar untuk merevolusikan amalan pembinaan hijau di peringkat global pada masa hadapan.
ECOBUILD memperkenalkan sistem panel sandwic canggih yang direka untuk meningkatkan penebatan haba, kecekapan tenaga, dan kelestarian keseluruhan dalam pembinaan bangunan.
Dengan menggalakkan penggunaan bahan mesra alam dan sistem bangunan penjimatan tenaga, inovasi tersebut menyumbang secara signifikan ke arah pengurangan pelepasan karbon dan pembangunan infrastruktur mampan.
Projek tersebut turut menyokong aspirasi global bagi bandar berdaya tahan iklim dan persekitaran binaan yang lebih hijau. Selaras dengan SDG 9, ECOBUILD membuktikan bagaimana inovasi dan penyelidikan mampu memacu pembangunan industri mampan serta infrastruktur berdaya tahan.
Ia juga memenuhi SDG 11 dengan mempromosikan pembangunan bandar lestari melalui teknologi pembinaan mesra alam, di samping menyokong SDG 13 melalui strategi reka bentuk yang peka terhadap iklim bagi meminimumkan kesan alam sekitar.
Menurut Md Azree yang juga Dekan HBP, pencapaian ini mencerminkan keupayaan pelajar USM dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi yang mampu menangani cabaran global semasa.
Beliau berkata, “Kejayaan ini adalah bukti kepada semangat, ketekunan, dan minat mendalam Min Wei terhadap penyelidikan serta inovasi. Industri pembinaan kini sedang berkembang pesat ke arah kelestarian dan pembangunan rendah karbon. Inovasi seperti ECOBUILD amat penting dalam menyokong matlamat pembangunan mampan global serta mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan untuk masyarakat.”
Tambah beliau lagi, “Pencapaian ini turut mencerminkan komitmen berterusan HBP dalam memupuk budaya penyelidikan dan inovasi yang kukuh dalam kalangan pelajar sarjana muda. Melalui penglibatan aktif dalam pembelajaran berasaskan penyelidikan, pertandingan inovasi, dan inisiatif pembangunan mampan, HBP berhasrat melahirkan graduan masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga mampu menyumbang penyelesaian bermakna terhadap cabaran dunia sebenar.”
“Pusat Pengajian ini percaya bahawa pendedahan awal pelajar kepada aktiviti penyelidikan dan inovasi dapat meningkatkan pemikiran kritis, kreativiti, kepimpinan, dan daya saing global,” katanya lagi.
Pencapaian luar biasa ini juga sejajar dengan aspirasi Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi, dan kelestarian dalam kalangan pelajar, khususnya di peringkat sarjana muda, ke arah melahirkan graduan masa depan yang bersedia dengan impak global.
Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan USM sebagai sebuah institusi terkemuka dalam memajukan kecemerlangan penyelidikan, kelestarian, dan pendidikan berasaskan inovasi.
Ia turut mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan bakat masa depan yang berupaya menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi selaras dengan keutamaan pembangunan mampan global.
Teks & Poster: Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), USM/Terjemahan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 518