USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RINTIS HUBUNGAN DENGAN UNIVERSITI PAKISTAN

1-1012132-1012133-1012134-1012135-101213

Sebagai salah sebuah negara Islam yang terbesar, dengan penduduk hampir 200 juta orang dan terdapat banyak universiti terkemuka yang terdapat di sana, Republik Islam Pakistan berupaya menjadi rakan kongsi pengajian tinggi utama.

Dunia mengingati Pakistan dengan saintis penerima Hadiah Nobel 1979 yang dilahirkannya Mohammad Abdus Salam (1926 – 1996) seorang ahli teoritikal fizik terkemuka yang menjadi Penasihat Sains kepada kerajaan Pakistan (1960 – 1974) dalam membangunkan infrastruktur Sains dan Teknologi negara tersebut.

Melihat kepada potensi ini, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengambil inisiatif mengadakan kunjungan ke Lahore, Islamabad dan Peshawar Pakistan baru-baru ini untuk melihat dari dekat kemajuan dan mengukuhkan hubungan dengan universiti-universiti di sana.

Turut sama dalam lawatan rasmi tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Konsul General Kehormat Pakistan Di Pulau Pinang Dato' Abdul Rafique Karim.

Menurut Abdul Rafique, Pakistan menyediakan peluang dan pasaran yang belum diterokai sepenuhnya oleh Malaysia terutamanya dalam pengajian tinggi.

“Pada masa ini terdapat kira-kira 3,000 orang pelajar dari sana yang berminat untuk mengikuti pengajian di Malaysia dan bilangan ini bertambahnya kerana jumlah penduduknya yang besar dan golongan yang mampu juga kian bertambah,” katanya lagi.

Di Lahore, Naib Canselor USM itu mengadakan kunjungan ke Universiti of Lahore, sebuah universiti swasta yang ditubuhkan melalui dana amanah dengan mendapat pengiktirafan dari pihak berkuasa pendidikan Pakistan dan juga beberapa penarafan dunia.

Universiti tersebut ditubuhkan pada tahun 1999 melalui IBADAT Education Trust mempunyai hampir 14,000 orang pelajar yang menawarkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Sains Farmasi,  Sains Perubatan, Sains Pergigian, Sains Molekular, Biologi dan Bioteknologi serta beberapa kursus lain yang mempunyai tiga kampus di Pakistan di samping mempunyai penerbitan televisyennya sendiri.

Pada masa ini, UoL mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai universiti ternama dunia seperti Cambridge University UK, Imperial College London, Western Michigan University USA, Yeditep University Istanbul serta beberapa buah universiti di Iran, Turki dan Afrika.

"Kami ingin memastikan UoL sentiasa menjalin hubungan rapat dengan pelbagai institusi pengajian tinggi bukan sahaja di Pakistan dan Barat tetapi juga dengan negara-negara Islam lain termasuk Malaysia," kata Penaung IBADAT Education Trust UoL, M.A Raoof.

Persefahaman yang ditandatangani ini adalah untuk kedua-dua pihak bekerjasama dalam pertukaran kepakaran kakitangan dan pelajar, penawaran program pengajian, penyelidikan dan libat sama komuniti dalam jangka panjang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi UoL, Awais Raoof, Naib Canselor UoL Profesor Dr. M.H Qazi, Rektor UoL Profesor Dr. M. Saleem Shuja,

USM turut membaharui perjanjian kerjasama dengan University of the Punjab, satu lagi institusi pengajian tinggi terkemuka Pakistan. USM telah menandatangani persefahaman dengan universiti tersebut beberapa tahun lalu terutamanya dalam bidang kerjasama yang berkaitan dengan pengajian Sains Farmasi.

Dalam perbincangan yang diadakan bersama Naib Canselornya, Profesor Dr. Mujahid Kamran, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan hubungan dalam hal yang berkaitan perkongsian kepakaran terutamanya dalam bidang Sains Farmasi, penyelidikan dan juga pertukaran pelajar.

“Dengan terdapat sebilangan alumni USM yang sedang bertugas sebagai pensyarah di sini, usaha untuk memantapkan kerjasama yang ada akan lebih mudah dilaksanakan,” kata Omar.

Menurutnya lagi, melalui lawatan ini, hubungan antara kedua-dua buah institusi dapat dipereratkan dan memungkinkan persefahaman yang ditandatangani dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Profesor Dr. Mujahid bersetuju untuk mengadakan kunjungan rasmi ke USM dalam waktu yang akan ditetapkan nanti.

Sementara itu dalam kunjungan ke Lahore University of Management Sciences (LUMS) yang ditubuhkan pada tahun 1984, Naib Canselor turut mengunjungi Suleiman Dawood School of Business dan bertemu Dekannya, Profesor Dr. Arif Nazir Butt untuk melihat model pengajaran dan pembelajarannya.

Suleiman Dawood School of Business sebelum ini telah menghantar pelajarnya untuk mengadakan program di USM dan berharap USM juga akan menghantar para pelajarnya ke sana dalam waktu terdekat.

“Kita akan usahakan segera perkara ini dan pada masa yang sama berharap untuk staf akademik kedua-dua universiti dapat berkongsi kepakaran terutamanya apabila melihat bagaimana mereka beroperasi dengan mengadakan pelbagai kursus eksekutif hampir saban minggu untuk faedah masyarakat,” kata Naib Canselor USM itu.

LUMS juga adalah sebuah universiti yang dibangunkan dari dana awam yang turut menawarkan pengajian dalam bidang Kemanusiaan, Sains Kemasyarakatan, Sains dan Kejuruteraan.

Sementara itu, dalam kunjungan ke University of Peshawar (UoP) pula, Naib Canselor USM telah memantapkan kerjasama dalam bidang penyelidiklan arkeologi yang sebelum ini telah pun menandatangani persefahaman dengan USM pada bulan April 2013 yang lalu.

Dalam perbincangan yang diadakan dengan Naib Canselor UoP, kedua-dua pihak bersetuju mengukuhkan kerjasama yang ada dengan memastikan usaha-usaha berterusan untuk pertukaran kepakaran staf akademik dan pelajar dapat dilakukan dengan lebih kerap.

UoP menawarkan 45 disiplin pengajian dari Sains Kemasyarakatan, Sains, Sains Gunaan dan pelbagai lagi.

“Pada masa ini terdapat seorang pelajar doktor falsafah dalam bidang arkeologi dari USM sedang mengikuti di sini dan USM berharap akan meningkatkan lagi bilangan ini pada masa hadapan, terutamanya dalam bidang Arkeologi mrmandangkan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global telah pun menerokainya dengan melihat kepada potensi luas untuk diterokai pada masa hadapan,” kata Omar.

Rombongan USM turut dibawa melawat ke Fakulti Sains Fizik dan Jabatan Sains Persekitaran UoL, College of Home Economics dan Muzium Arkeologi di UoL serta Muzium Peshawar yang mempunyai koleksi tentang khazanah warisan pelbagai agama dunia terutamanya melalui tamadun Ghandara.

College of Home Economics UOP berjaya mengadunkan di antara ilmu sains dengan usaha mempertahankan pelbagai warisan budaya dalam melestarikannya dalam jangka panjang.

"Ini merupakan lawatan kerja yang sangat berjaya," kata Naib Canselor USM itu di akhir lawatan ke Pakistan.

Menurut Omar, USM bukan sahaja berjaya mengukuhkan hubungan yang sedia ada tetapi dapat melihat sendiri kekuatan yang ada di pelbagai universiti yang dilawati.

Selain dari mengunjungi University of Lahore, Lahore University of Management Sciences, University of the Pubjab dan University of Peshawar, rombongan USM itu turut melawat International Islamic University Islamabad dan National College of Arts Lahore di samping menemui delegasi dari University of Sargodha dan Sarghoda Chamber of Commerce and Industry Pakistan.

“Tindakan susulan akan segera dibuat untuk memastikan semua usaha ini akan dapat dilaksanakan terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkongsian kepakaran akademik dan pertukaran pelajar,” kata Omar lagi.

Cadangan juga dibuat untuk mengadakan pertukaran pensyarah dan pelajar dalam bidang seni dan budaya serta mengadakan Festival Kebudayaan Pakistan di negeri Pulau Pinang, khususnya USM pada tahun hadapan untuk membolehkan masyarakat tempatan di sini lebih memahami khazanah seni budaya Pakistan dan begitu juga untuk mengadakan acara yang sama dengan membawa khazanah seni budaya Malaysia ke Pakistan.

"Lawatan ini amat berjaya kerana membolehkan kita lebih memahami isu dan masalah dalam mengukuhkan jalinan kerjasama Malaysia dengan Pakistan khususnya dalam pendidikan dan kebudayaan," kata Konsul Kehormat Pakistan di Pulau Pinang Dato Abdul Rafique Karim.

Tambahnya lagi, cadangan-cadangan akan dibuat kepada pihak kedutaan Pakistan di Malaysia dan kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan yang ada dan menjadikan kerjasama pendidikan Malaysia dengan Pakistan lebih bermakna.

Abdul Rafique juga mencadangkan agar universiti di Malaysia menjalin hubungan kerjasama dengan universiti di sana terutamanya yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan pelbagai badan terkemuka dunia dan menjalinkan hubungan akademik yang lebih baik dengan mereka walau pun pada masa ini belum ada perjanjian rasmi antara kedua-dua kerajaan dalam bidang pendidikan.

“Kita sedang berusaha untuk menjalin kerjasama rasmi yang lebih baik pada masa hadapan apatah lagi dalam konteks sesama negara Islam,” tambahnya lagi.

TEKS & FOTO: Mohamad Abdullah

 

  • Created on .
  • Hits: 1372

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024