USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GHEF 2013 LEBIH BERFOKUS DAN SIGNIFIKAN

DSC 0410DSC 0316DSC 0326

 

DSC 0296DSC 0209

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis.2013 -  Rata-rata peserta yang menyertai Forum Pengajian Tinggi Global (GHEF) 2013 menyatakan perjumpaan kali ini membincangkan isu-isu yang lebih berfokus dan signifikan dalam perkembangan dunia pengajian tinggi pada hari ini.

Pembentang ucap utama, Sir Graeme Davis dari University of London, United Kingdom berkata, para pembentang majoritinya telah membawakan pelbagai idea dan perspektif yang dapat meningkatkan pencapaian pengajian tinggi di peringkat global.

Sir Graeme yang turut menjadi pakar rujuk dalam membincangkan isu-isu terkini dalam pengajian tinggi juga menyifatkan topik-topik yang dibincangkan sangat relevan dengan situasi semasa pengajian tinggi meliputi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

``Pelbagai isu telah dikupas dengan begitu baik termasuk yang menyentuh aspek seperti keterlibatan (inclusiveness), memperkasa kebolehpasaran siswazah, kepelbagaian, kemasyarakatan dan sebagainya.

``Melalui GHEF juga kita dapat membuat kesimpulan bahawa IPTA dan IPTS seharusnya berperanan secara selari, bukan bertentangan kerana pada akhirnya objektif yang ingin dicapai adalah sama iaitu untuk memberi pendidikan terbaik  kepada komuniti,’’ ujarnya.

Hal ini disambut baik oleh Pengerusi Program Taylor’s University (TU), Profesor Madya Dr. Vikneswaran Nair, yang juga Felo IPPTN sejak tahun 2007.

“Penganjuran seminar tersebut secara bersama di antara IPTA dan IPTS adalah sangat bertepatan kerana misi dan visi di dalam bidang pengajian tinggi ini tidak membezakan samada IPTA atau IPTS. Halatuju dan objektif yang sama itu menjadikan kewujudan IPT adalah relevan,” tambah beliau.

Tambah beliau lagi, kerjasama antara USM dan TU telah lama dijalinkan namun pada tahun ini kali pertama menganjurkan seminar antarabangsa secara bersama.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pejabat Perhubungan Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia, Suhaili A. Jalil pula berkata, GHEF 2013 sangat bermanfaat untuk para peserta khususnya yang terlibat secara langsung dalam membangunkan menara ilmu.

``Pembentang yang ditampilkan sangat berpengalaman dan menjadi pakar rujuk di peringkat global dalam hal-hal berkait dengan pengajian tinggi. Ia secara tidak langsung memberi satu input yang sangat terperinci dari mereka yang benar-benar faham erti pengajian tinggi.

``Dari aspek penganjuran pula tidak banyak yang perlu diperbaiki kerana semuanya telah diatur dengan sempurna dan berkesan termasuk dari aspek penyusunan sesi pembentangan, soal jawab dan sebagainya,’’ katanya.

Beliau turut menegaskan perbincangan selama tiga hari itu lebih berfokus dan memberi lebih nilai kepada para peserta untuk diaplikasikan ke organisasi masing-masing.

Ketua Hal Ehwal Pendidikan, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos, Senekeo Vongsakit berkata beliau sangat tertarik dengan Pembentangan Ucap utama Kedua GHEF 2013 yang menyentuh mengenai sumber kewangan dan juga pinjaman pindidikan untuk pengajian tinggi.

Hal ini kerana mereka sedang mengkaji tentang yuran dan pinjaman kewangan yang akan dilaksanakan di Laos.

Mantan Pakar Pendidikan Tinggi UNESCO, Molly Lee pula menyarankan supaya lebih ramai ahli akademik menyertai seminar seperti ini dan membentangkan lebih banyak kertas kerja.

Pada pandangannya, ramai pensyarah muda yang hadir hanya sebagai peserta yang pasif, selain turut menyarankan agar pembentang yang hadir mestilah seimbang dari negara-negara Asia, Timur Tengah dan Eropah.

Pembentang kertas kerja dari Elsevier, Anders Karlson pula berkata, forum ini boleh menjadi penggerak untuk kembali berbakti kepada alma mater. Menurut beliau Malaysia mempunyai banyak Institusi Pengajian Tinggi yang hebat, namun jumlah penuntutnya yang menyumbang khidmat pakar kepada negara masih kurang.

"Dengan forum ini, mungkin kita akan dapat gerakkan secara perlahan-lahan kepentingan menyumbang khidmat pakar kepada dunia secara amnya, dan kepada negara secara khususnya.

``Usaha ini boleh diibaratkan sebagai setitik air yang menitik di permukaan batu, lama kelamaan akan terbentuk lekuk di permukaan batu tersebut, begitulah juga dengan usaha yang dilakukan ke arah menjayakan pembangunan pengajian tinggi" tambah beliau lagi.

Pun begitu, beliau turut menyuarakan pandangan supaya semua kertas kerja yang dibentangkan dalam GHEF perlu diletakkan hanya dalam sebuah buku, tidak seperti GHEF 2013 yang mengasingkannya kepada dua penerbitan.

Bagi pembentang kertas kerja dari University of Deakin, Australia Dr. James Campbell berkata beliau amat gembira dengan segala perbincangan dan penceramah jemputan ke forum ini. Semua topik yang dibincangkan adalah amat sesuai dan menepati kehendaknya.

"Pemilihan tempat yang strategik, pemilihan topik yang menarik, semuanya amat memuaskan dalam forum ini. Dengan adanya Global Higher Education Network (GHEN) jua, idea dan topik yang dibincangkan dapat digerakkan dengan lebih cepat.

``Memang tidak mudah untuk menggerakkan segala yang dibincangkan kerana peserta terdiri daripada pelbagai negara, namun ia boleh diusahakan sebaik mungkin dengan komitmen semua pihak,’’ ujarnya.

GHEF 2013 julung kalinya dikelolakan oleh IPPTN dan Taylor’ University, disertai oleh kira-kira 200 peserta termasuk pakar-pakar yang berperanan besar dalam pengajian tinggi, antaranya naib-naib canselor universiti, rektor, timbalan-timbalan naib canselor dan sebagainya.

Perasmian GHEF 2013 yang melibatkan penyertaan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea, Afrika Selatan dan sebagainya itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Profesor Dr. Morshidi Sirat. Teks: Marziana/Nor Rafizah/Sharifah Darweena/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1183

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024