USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PACU REVOLUSI PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK MELALUI TEKNOLOGI AI DAN ANALITIK PINTAR

FB IMG 1779689793440

USM PULAU PINANG, 25 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan peranan sebagai peneraju inovasi negara melalui pemeteraian kerjasama strategik bersama Rahilah Camel Group Sdn. Bhd. bagi pembangunan sebuah platform pintar pendidikan awal kanak-kanak berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI), analitik data, dan pemantauan digital generasi baharu.

Kerjasama strategik tersebut turut melibatkan Intech Art Sdn. Bhd. sebagai rakan teknologi dan platform pengkomersialan strategik melalui ekosistem spin-off universiti (SUSO USM), sekali gus memperlihatkan sinergi kukuh antara universiti, industri, dan pemain teknologi tempatan dalam memperkasa transformasi digital sektor pendidikan awal negara.

FB IMG 1779689868879

Majlis pemeteraian disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Rahilah Camel Group Sdn. Bhd., Dr. Zaki Ibrahim.

FB IMG 1779689841126

Menurut Habibah, kolaborasi strategik seperti ini membuktikan bahawa hasil penyelidikan universiti mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan negara.

Kata beliau, “pembangunan teknologi pendidikan pintar berasaskan AI ini adalah selari dengan aspirasi negara dalam memperkukuhkan agenda transformasi digital, pembangunan modal insan berkualiti, dan ekosistem inovasi berimpak tinggi.

FB IMG 1779689801815

“Kerjasama ini juga dijangka membuka ruang lebih luas kepada pembangunan penyelidikan gunaan, pemindahan teknologi, pengesahsahihan teknologi (technology validation) di peringkat industri, dan pengkomersialan inovasi tempatan yang mampu memberi nilai tambah kepada sektor pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

“Dengan gabungan kepakaran akademia, pengalaman industri, dan keupayaan teknologi tempatan, kolaborasi ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem pendidikan pintar negara yang lebih progresif, inklusif, dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, menurut Zaki, “Melalui kerjasama ini, saya yakin sistem pintar pendidikan awal kanak-kanak yang dibangunkan ini dapat membantu institusi pendidikan, guru, dan ibu bapa memantau perkembangan pelajar secara lebih menyeluruh, sistematik, dan berasaskan data dalam persekitaran operasi sebenar.”

FB IMG 1779689880578

Beliau menambah, “Platform tersebut direka sebagai ekosistem digital pintar yang mampu merekod, menganalisa, dan menilai perkembangan pelajar merangkumi aspek akademik, komunikasi, tingkah laku, sosial, emosi, dan perkembangan kognitif secara masa nyata.”

Zaki turut menjelaskan, “Pendekatan ini juga membolehkan pengesanan awal terhadap kekuatan, potensi, dan ruang penambahbaikan pelajar sebelum memasuki alam persekolahan formal.”

FB IMG 1779689871427

Menurutnya lagi, “Lebih menarik, sistem ini turut mengintegrasikan teknologi AI yang berupaya mengenal pasti kecenderungan bakat dan potensi semula jadi kanak-kanak sejak usia awal melalui analisis corak pembelajaran dan perkembangan tingkah laku.”

“Teknologi tersebut dijangka membantu institusi pendidikan dan ibu bapa membangunkan potensi pelajar secara lebih terarah, efektif, dan bersesuaian dengan keunikan setiap individu,” ujar beliau.

FB IMG 1779689798972

Selain memperkukuhkan proses pemantauan perkembangan pelajar, sistem ini juga menawarkan kelebihan kepada institusi pendidikan melalui pemantauan berpusat, laporan pintar secara automatik, akses data masa nyata, dan sokongan intervensi awal yang lebih pantas dan tepat.

FB IMG 1779689877257

Turut hadir di majlis ialah Penasihat Undang-undang Universiti, Dato’ Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri Komuniti) mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Profesor Madya Dr. Wong Li Pei; serta pengasas Intech Art Sdn. Bhd., Dr. Mohd Nadhir Ab Wahab bersama pengasas bersama, Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan.

Teks: Dr. Mohd Nadhir Ab Wahab, Pusat Pengajian Sains Komputer, USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 47

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025